KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, pasaran kewangan Malaysia kekal teratur meskipun terdapat tekanan luaran yang tidak menentu.
Pengerusi Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) dan Timbalan Gabenor BNM Adnan Zaylani keadaan ini membolehkan bank pusat menumpukan usaha pada inisiatif pembangunan yang akan menambah baik lagi pengalaman pelabur dalam pasaran.
Bagaimanapun, BNM tetap berwaspada berikutan situasi tarif yang berubah-ubah dengan pantas.
FMC telah bermesyuarat pada 28 April lalu bagi membincangkan perkembangan terkini dalam pasaran kewangan domestik.
Menurutnya, pasaran kewangan global telah mengalami volatiliti yang ketara dalam beberapa minggu kebelakangan ini, terutamanya susulan pengumuman oleh Amerika Syarikat (AS) pada 2 April mengenai pengenaan tarif yang meluas ke atas rakan dagangan negara itu.
Perkembangan ini telah mendorong perniagaan dan pelabur untuk mengambil sikap lebih berhati-hati, lantas mencerminkan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap haluan dasar perdagangan global.
Cboe Volatility Index (VIX) meningkat kepada paras tinggi sebanyak 52.3, manakala S&P 500 dan MSCI World Index mencatatkan penurunan awal masing-masing sebanyak 12.1% dan 11.3%.
Dolar AS juga diniagakan lebih rendah dengan penurunan sebanyak 8.3% dalam US Dollar Index (DXY) sejak awal tahun sehingga kini.
Sentimen pasaran sejak tempoh itu telah menunjukkan tanda pemulihan, disokong oleh penangguhan sementara tarif yang melebihi 10% selama 90 hari mulai 9 April tetapi prospek kekal tidak menentu dan tertakluk pada hasil rundingan perdagangan yang sedang berlangsung.
Bagaimanapun, menurut BNM, pasaran kewangan domestik kekal berdaya tahan dan terus menjadi pengantara dengan berkesan.
Ringgit telah meningkat sebanyak 2.3% sejak awal tahun sehingga kini berbanding dolar AS bersama kebanyakan mata wang serantau, didorong terutamanya oleh kelemahan dolar secara meluas.
Pasaran saham domestik (FBM KLCI) pada awalnya mencatatkan penurunan sebanyak 8.2% berikutan pengumuman tarif, mengikut penurunan dalam ekuiti global.
Namun, kerugian telah berkurang sejurus selepas tarif ditangguhkan kepada hampir 1.1% lebih rendah pada 25 April berbanding 2 April.
Malah, mudah tunai pasaran pertukaran asing domestik kekal tinggi dengan purata perolehan harian sebanyak AS$18.8 bilion sejak awal tahun sehingga kini dan pertumbuhan tahunan yang kukuh sebanyak 6.8%.
Hal ini membolehkan syarikat korporat dalam negeri memenuhi keperluan pertukaran asing mereka.
“FMC juga mendapati bahawa minat untuk menggunakan mata wang tempatan bagi penyelesaian perdagangan rentas sempadan dan transaksi pelaburan semakin meningkat.
“Pasaran bon domestik terus menarik permintaan yang kukuh dengan nisbah bida kepada tawaran (bid-to-cover, BTC) lelongan bon kerajaan berpurata pada 3.01 sejak awal tahun sehingga kini (2024: 2.56).
“Mudah tunai dalam pasaran sekunder bertambah baik dengan jumlah dagangan harian purata sebanyak RM7.3 bilion pada tahun 2025 (2024: RM4.6 bilion) dan mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak RM15.5 bilion,” katanya selaim mengambil maklum permintaan domestik yang kukuh terhadap bon korporat telah mengurangkan tebaran hasil, lantas menyediakan saluran untuk aktiviti pengumpulan dana korporat pada kos yang berpatutan.
Dari segi pembangunan pasaran, FMC berpandangan positif terhadap pertumbuhan pasaran kewangan Islam di Malaysia, terutamanya pembangunan pasaran sukuk yang pelbagai dan memberangsangkan.
Yang ketara, kepentingan pasaran Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) telah berkembang sejak beberapa tahun lalu dan kini setanding dengan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) konvensional dari segi saiz dan mudah tunai.
Menurutnya, MGII kini mencakupi 48% daripada bon kerajaan terkumpul dan 47% daripada jumlah dagangan bon kerajaan pada tahun 2025.
“Pengembangan ini seiring dengan peningkatan kesedaran dan penerimaan sukuk sebagai kelas aset oleh komuniti pelaburan global. Sehubungan dengan itu, MGII telah dimasukkan dalam kebanyakan indeks bon global utama, termasuk Bloomberg Global Aggregate Index dan J.P. Morgan Government Bond Index – Emerging Markets,” ujarnya.
FMC mengalu-alukan usaha berterusan oleh BNM untuk menerajui kemajuan MGII selanjutnya, dengan memberikan tumpuan pada inisiatif untuk meningkatkan akses, mudah tunai dan kebolehlihatan MGII.
Jelasnya, inisiatif ini akan termasuk kajian semula rangka kerja lindung nilai dinamik untuk memudahkan lindung nilai oleh penjejak indeks serta menyokong penghasilan pasaran oleh institusi kewangan domestik melalui peningkatan ketersediaan repo. – MalaysiaGazette