Muhammad Hafizuddeain beramah mesra dengan isteri anggota Malbatt 850-12 dalam Majlis Ramah Mesra PTD dan Pengerusi Jemaah Bakat Darat bersama Keluarga Malbatt 850-12 di Dewan Serigala Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja (6 RRD), Kem Ulu Tiram, Johor Bahru, petang semalam.

JOHOR BAHRU – Pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) 850-12 bagi misi pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan mengambil langkah kontigensi di negara bergolak itu jika berlaku situasi tidak diduga yang berpotensi mencetuskan risiko keselamatan.

Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, persediaan itu perlu agar anggota sentiasa berwaspada dan tidak leka walaupun Lubnan dilaporkan dalam keadaan terkawal dan stabil.

“Daripada segi keselamatan memang dilaporkan mereka (Malbatt 850-12) dalam keadaan stabil, bagaimanapun kita sentiasa mengingatkan anggota yang bertugas di sana supaya sentiasa dalam keadaan waspada.

“Kita khuatir, takut ada tindakan di luar kawalan oleh pihak yang bertelagah yang mungkin menembak ke kawasan tugasan kita.

“Tetapi, Alhamdulillah, setakat ini belum ada lagi insiden yang begitu berisiko tinggi, namun kita sentiasa berwaspada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Ramah Mesra PTD dan Pengerusi Jemaah Bakat Darat bersama Keluarga Malbatt 850-12 di Dewan Serigala Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja (6 RRD), Kem Ulu Tiram di sini, petang semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jemaah Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) Darat, Puan Sri Hartiah Hamzah.

Menurut Muhammad Hafizuddeain, pasukan Malbatt 850-12 yang berangkat ke Lubnan pada November 2024 akan pulang secara beransur menjelang November tahun ini dan akan digantikan dengan pasukan Malbatt 850-13.

Katanya, setakat ini, sepanjang penugasan, anggota dibenarkan cuti tahunan dan kini mereka sudah mula bercuti selama sebulan secara berperingkat.

Mengulas mengenai Malbatt 850-13, beliau berkata, pasukan itu akan terdiri daripada kira-kira 850 anggota termasuk satu platun daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Pasukan itu katanya, akan ditubuhkan dalam masa terdekat dan buat masa ini, masih di peringkat pemilihan komander dan pegawai staf.

“Unit yang dipilih untuk Malbatt 850-13 adalah Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja yang berpangkalan di Sungai Ara, Pulau Pinang.

“Kumpulan ini akan mula dikumpulkan pada Jun nanti bagi melaksanakan Latihan Integrasi Daya (Force Integration Training) di Port Dickson, Negeri Sembilan,” jelasnya.

Pada majlis itu, keluarga anggota Malbatt 850-12 termasuk isteri dan anak-anak disantuni termasuk dengan memberi peluang membuat panggilan video secra langsung dengn anggota di Lubnan.

Keluarga anggota Malbatt 850-12 turut menerima sumbangan, selain turut disampaikan, sumbangan kebajikan kepada ahli keluarga anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang diuji dengan masalah kesihatan.

Berkongsi cerita, meskipun terpaksa berjauhan dengan suami yang menjalankan tugas Malbatt 850-12 di Lubnan, isteri kepada Koperal Muhammad Fared Amran, 34 iaitu Nur Fazliana Mazli, 33, akur dan memahami tugas suaminya yang berkhidmat demi negara.

Baginya, pengalaman berjauhan dengan suami bukan sesuatu yang asing, namun beliau cekal menguruskan anaknya yang menghidap penyakit jantung berlubang saat ditinggalkan dalam tempoh yang paling lama setakat ini iaitu setahun.

“Anak kedua saya berusia lima tahun ada masalah jantung berlubang tetapi lubang itu semakin mengecil, jadi sekarang ini saya perlu bawa dia mendapatkan pemeriksaan susulan.

“Saya selalu pesan pada suami, jangan risau dengan keadaan saya serta anak-anak, saya mahu dia fokus pada tugasnya,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here