JOHOR BAHRU – Seorang penunggang motosikal maut selepas melanggar sebuah kereta di kawasan simpang empat lampu isyarat di Jalan Pasir Pelangi/Bakar Batu di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian pada pukul 5.45 pagi itu melibatkan motosikal ditunggang mangsa dan sebuah kereta.
“Kemalangan tersebut dipercayai berlaku ketika pemandu kereta iaitu seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun dalam perjalanan dari rumahnya hendak pergi ke tempat kerja di SouthKey di sini.
“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu kereta berkenaan telah bergerak terus ketika lampu isyarat berwarna hijau,” katanya dalam satu kenyataan.
Raub berkata, kemudian secara tiba-tiba motosikal terbabit dari arah kanan melanggar bahagian sisi kanan kereta tersebut sehingga mengakibatkan mangsa tercampak atas jalan.
Katanya, akibat kemalangan tersebut mangsa iaitu warga tempatan berusia 48 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Raub memberitahu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau memohon saksi awam yang melihat kejadian tersebut agar tampil ke Balai Trafik Johor Bahru Selatan untuk memberi keterangan atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Nurulhadi Ali 019-523 0102. – MalaysiaGazette