MELAKA – Polis Melaka mengesahkan menerima laporan kes seorang bayi lelaki berusia dua bulan parah selepas mengalami pendarahan dalam kepala, luka dan lebam disyaki didera ibunya di rumahnya di Alor Gajah, semalam.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, bayi berkenaan ditinggalkan ibunya di Hospital Melaka sebelum pemeriksaan doktor mendapati kesan dipercayai akibat didera.
“Pegawai perubatan hospital mengesan kecederaan baru dan lama sebelum membuat laporan polis
“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Alor Gajah, esok,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.
Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan seorang bayi lelaki berusia dua bulan parah akibat pendarahan dalam kepala, luka dan lebam disyaki didera ibunya di rumahnya di Sungai Petai, Alor Gajah, di sini semalam.
Kejadian terbongkar selepas ibu mangsa berusia 22 tahun menghantar anaknya itu ke Hospital Alor Gajah dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mendakwa bayi itu diserang sawan sebelum meninggalkannya di situ.
Menurut sumber, bayi berkenaan kemudian dirujuk ke Hospital Melaka tengah malam tadi sebelum doktor pakar mendapati kesan lebam, luka di badan dan leher serta pendarahan lama dan baru dalam kepala bayi terbabit.
“Doktor kemudian membuat laporan polis kerana mengesyaki mangsa didera dan bayi berkenaan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Melaka.
“Bertindak hasil maklumat, polis ke rumah ibunya di Sungai Petai, Alor Gajah sebelum berjaya menahan suspek kira-kira jam 7.30 malam tadi,” katanya. – MalaysiaGazette