KUALA LUMPUR – Isu perkauman seperti yang berlaku di Semenanjung tidak wajar dibiarkan bertapak di Sabah, kata Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak.
Menurut bekas Ketua Menteri Sabah itu, keharmonian dan perpaduan yang wujud di Sabah adalah aset yang sangat berharga dan perlu dipertahankan dan dipelihara.
Sehubungan itu, beliau menyeru penduduk negeri tersebut supaya meneruskan hidup dengan semangat saling menghormati tanpa mengira kaum, agama atau pegangan politik.
“Apabila membaca tentang isu perkauman di Semenanjung Malaysia, sering timbul persoalan—mengapa perkara seperti ini masih berlaku selepas lebih 60 tahun merdeka?
“Di Sabah, masyarakat pelbagai kaum hidup dalam keadaan harmoni. Kadazan, Dusun, Rungus, Bajau, Suluk, Irranun, Murut, Cina, Bugis dan lain-lain membesar bersama, bersekolah bersama dan menyambut perayaan antara satu sama lain tanpa halangan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Tambah Salleh, di Sabah agama diamalkan dengan rasa hormat dan saling memahami dengan masyarakat pelbagai agama sering memberi sokongan antara satu sama lain semasa sambutan keagamaan dan kebudayaan.
Malah, ujarnya, keharmonian antara agama juga menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian di negeri itu.
Ujarnya, meskipun dalam politik wujud perbezaan sokongan, tetapi ia tidak memecahbelahkan masyarakat pelbagai agama dan kaum dan perbezaan pandangan politik juga bukan alasan untuk penduduk memutuskan persahabatan atau hubungan kejiranan.
“Politik di Sabah lebih tertumpu kepada pembangunan dan keperluan rakyat—seperti peluang pekerjaan, jalan raya, pendidikan dan bekalan air bersih.
“Pemimpin datang daripada pelbagai latar belakang dan berkhidmat untuk semua lapisan masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette