Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi Pendengaran permohonan AGC berhubung perintah larangan bersuara (gag order) berkaitan kewujudan titah adendum di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 28 APRIL 2025.(GAMBAR FAIL).

KUALA LUMPUR – Pasukan pembelaan yang mewakili Datuk Seri Najib Razak memohon Mahkamah Tinggi di sini melepas tanpa membebaskan (DNAA) beliau daripada tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, representasi bagi menggugurkan ketiga-tiga pertuduhan yang dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri pada 31 Julai 2023, belum diputuskan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Representasi ini merupakan yang sama dikemukakan hampir dua tahun lalu dan hingga kini kami masih menunggu keputusan sama ada ia diterima atau sebaliknya.

“Oleh yang demikian, kami memohon anak guam dilepas tanpa dibebaskan (DNAA). Pihak pendakwaan boleh membuat keputusan representasi itu mengikut kesesuaian mereka.

“Kami hanya memohon DNAA. Pihak pendakwaan tidak akan rasa tertekan untuk membuat keputusan pada bila-bila masa,” ujarnya.

Sehubungan itu, Hakim K. Muniandy menetapkan 11 Jun ini untuk keputusan representasi selepas memberi penangguhan akhir selama sebulan seperti yang dipohon oleh pihak pendakwaan.

Mahkamah turut mengarahkan bekas Perdana Menteri hadir pada prosiding tersebut.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan, beliau diarah untuk memohon penangguhan selama sebulan bagi memuktamadkan representasi berkenaan.

Berkaitan permohonan lisan peguam agar dikenakan perintah DNAA, beliau memaklumkan tidak menerima arahan berkaitan perkara itu.

“Najib juga tidak hadir di mahkamah pada prosiding hari ini,” ujarnya.

Mahkamah sepatutnya mendengar status representasi Najib dalam usaha beliau untuk menggugurkan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International.

Dalam prosiding pada 10 Mac lalu, Mohd. Ashrof memaklumkan mahkamah bahawa representasi itu masih belum diputuskan.

Pada 3 Februari 2019, Najib, 72, didakwa atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya, di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International.

Mahkamah Tinggi sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Persekutuan selepas menolak rayuan Najib.

Beliau memfailkan petisyen bagi mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022 dan Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here