Suami kepada Datuk Nora, Dr Rushdi Ramli ketika hadir di mahkamah bagi prosiding sebutan perceraiannya bersama Penyanyi, Datuk Nora Ariffin di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 6 MEI 2025.

PETALING JAYA – “Saya menyatakan penolakan perceraian kerana saya masih menyayangi perkahwinan ini dan masih mahu mempertahankannya”.

Itu pendirian suami kepada Datuk Nora Ariffin, Rushdi Ramli selepas selesai prosiding sebutan permohonan isteri keduanya, hari ini.

Yakin Nora masih menyayanginya, namun. katanya, kehidupan berpoligami mempunyai cabaran yang perlu ditangani dengan bijaksana.

“Sebagaimana kita semua tahu dalam kehidupan rumah tangga lebih-lebih lagi berpoligami tentu ada pasang surutnya tapi sebagai ketua keluarga yang masih sayang rumah tangga ini saya tidak bersetuju (untuk bercerai).

“Dalam keadaan apa pun, perdamaian adalah yang terbaik dan lebih baik daripada bercerai-berai. Dalam rumah tangga kita kena elak bercerai.

“Dalam kitab-kitab para ulama pun disebut, perkahwinan merupakan kontrak seumur hidup, jadi kalau tidak ada alasan yang munasabah lebih-lebih lagi jika ada rasa sayang.

Penyanyi, Datuk Nora Ariffin (tengah, kanan) menyalam suaminya, Dr Rushdi Ramli (tengah, kiri) ketika hadir di mahkamah bagi prosiding sebutan perceraiannya mereka di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 6 MEI 2025.

“Kita pun boleh rasa kalau isteri masih sayang. Saya yakin kasih dan sayang antara saya dengan Nora masih ada, Tuhan tidak buang lagi perkara itu,” katanya kepada pemberita.

Malah, padanya, perkahwinannya dengan penyanyi terkenal itu adalah perkara baik yang wajar untuk diteruskan, jauh sekali untuk ditamatkan dengan perceraian meskipun dalam keadaan berpoligami.

Jelasnya, kedua-dua isterinya mempunyai kelebihan masing-masing.

“Saya akan pertahankan perkahwinan ini kerana kita faham perkahwinan ini perkara yang baik dan sama ada suka atau tidak saya ada isteri pertama dan kedua.

“Isteri pertama ada kelebihan dan isteri kedua pun ada kelebihan. Banyak manfaat keagamaan yang saya rasa dalam berpoligami apa pun tidak akan ada yang sempurna jangan cari kelemahan. Jadi kita cuba pertahan perkara yang baik,” tambahnya.

Malah beliau yakin keluarga pertamanya sudah menerima hakikat bahawa beliau kini mempunyai isteri kedua.

Bagaimanapun, beliau maklum tentang harapan supaya tanggungjawab tidak terabai kepada keluarga isteri pertamanya.

“Dalam berpoligami tentu ada cabaran-cabarannya, mana ada bila isteri pertama mendengar suaminya berkahwin lagi, dia terbuka menerimanya kerana fitrah wanita sudah tentu ada pasang surutnya.

“Tapi buat masa sekarang, berdasarkan pemerhatian, saya nampak keluarga pertama sudah pun menerima kehadiran dan perkahwinan saya dengan Datuk Nora.

“Yang penting keluarga pertama saya mengharapkan kehidupan saya dengan mereka tidak berubah, tidak mengabaikan isteri pertama masih lagi berjalan-berjalan, makan angin. Kalau perkara sebegitu tidak kurang dalam keluarga pertama maka saya percaya tidak menjadi masalah,” jelasnya lagi.

Sehubungan itu, Rushdi berharap proses seterusnya iaitu prosiding pelantikan Jawatankuasa Pendamai (JKP) akan memberi sinar untuk dia dan Nora meneruskan rumah tangga.

“Saya mengharapkan perdamaian tercapai dan sudah tentu sebagai seorang suami saya harap Datuk Nora terus cinta dan sayang kepada saya tapi kalau sudah tidak cinta dan sayangkan saya, saya tidak boleh buat apa lagi, hanya mampu berusaha ikut kemampuan,” katanya lagi.

Mengaku pelbagai dakwaan di media sosial memberi tekanan dan menjejaskan nama baik Nora sebagai penggiat seni tanah air, Rushdi mendedahkan, dia pernah menegur keluarga isteri pertamanya supaya tidak mudah memuat naik kenyataan di media sosial yang akhirnya mencetuskan perselisihan faham.

“Saya sedih sebab masyarakat yang tidak tahu hujung pangkal rosakkan imej Datuk Nora sebab itu saya pernah keluarkan kenyataan sebelum ini, saya rasa terpaksa sangat sebelum ini di media sosial untuk menolak kata-kata netizen terhadap Nora.

“Saya juga selalu berpesan kepada keluarga (pertama) saya, jangan sekali-kali memberi komen apa-apa sebab saya sentiasa inginkan kebaikan dan tidak mahu kata mengata dilontarkan melalui media sosial,” katanya.

Sementara itu, Rushdi akan tetap berusaha demi memastikan rumah tangga yang dibinanya bersama isteri pertama dan Nora harmoni.

Dr Rushdi Ramli (kanan) ketika hadir di mahkamah bagi prosiding sebutan perceraiannya bersama penyanyi, Datuk Nora Ariffin di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 6 MEI 2025.

“Solusi perkahwinan saya, (adalah) sudah lama saya cuba sedaya upaya untuk merealisasikan keharmonian, perdamaian antara Nora dengan keluarga pertama tapi usaha yang saya buat itu mestilah dengan meraikan hukum hakam syarak.

“Kita nak harmonikannya tidak boleh dengan cara kasar contoh bila anak saya tidak suka saya berkahwin lagi caranya saya tampar anak saya, bukan begitu caranya,” kata Rushdi.

Sebagai rekod, Nora mengumumkan pernikahannya dengan Rushdi yang merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul, Universiti Malaya pada 3 Disember 2021.

Tercetusnya kontroversi apabila isteri pertamanya, Rose Aliza Sutrisno didakwa menggesanya menceraikan Nora.

Namun pada 19 Mac lalu, Rose menerusi hantaran di Facebook menafikan dia dan anaknya menjadi punca perceraian suaminya dan isteri keduanya seperti didakwa Nora sebelum ini.

Rose mendakwa keputusan perceraian dibuat atas pertimbangan suaminya sendiri dan bukan atas desakan mereka.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Nora akur Rushdi tolak permohonan cerai, tapi sudah penat

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here