Shahar Abdullah menerima surat pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini

KUANTAN – Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah yang dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berazam menegakkan integriti, ketelusan dan akauntabiliti demi Malaysia yang bebas rasuah.

Shahar menerusi kenyataan berkata, pelantikan tersebut satu amanah besar yang akan dipikul dengan penuh rasa bertanggungjawab dan beriltizam demi memperkukuhkan integriti sistem pentadbiran negara dan rakyat Malaysia.

”Patik merafak sembah dan menjunjung kasih atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri atas pelantikan ini.

”Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri atas kepercayaan yang diberikan serta kepada Tuan Yang Terutama Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar atas kepimpinan cemerlang beliau sebagai Pengerusi JKMR sebelum ini,” katanya.

Pelantikan itu bermula 25 April 2025 sehingga 25 April 2028.

Jelas Shahar, dengan ketelusan dan kecekapan yang telah dibina akan terus menjadi panduan utama beliau dalam mengemudi jawatan berkenaan.

Seiring perkembangan semasa, semua pihak menyaksikan bentuk dan kaedah rasuah turut berubah lebih kompleks, terselindung dan berkait rapat dengan penggunaan teknologi canggih.

“Sebagai individu yang berpengalaman dalam bidang teknologi, ekonomi dan kewangan, saya bertekad untuk mengaplikasikan kepakaran ini dalam memperkukuh fungsi jawatankuasa khas ini.

”Saya mohon doa dan sokongan daripada seluruh rakyat Malaysia agar usaha murni ini dapat berjalan lancar dan memberi impak yang positif kepada negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here