Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menunjukkan barang rampasan dan senjata digunakan ketiga-tiga suspek ketika berbalas tembakan.

KUALA LUMPUR – Sindiket curi kenderaan pacuan empat roda (4×4) di empat negeri berjaya ditumpaskan selepas tiga penjenayah ditembak mati di sebuah inap desa di kawasan Taman Sejahtera, Sik, Kedah pada 1 Mei lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, serbuan dilakukan hasil risikan pasukan khas Bahagian D4 JSJ Bukit Aman dan JSJ Kontinjen Melaka berkait sindiket mencuri kenderaan 4×4 yang aktif di Melaka, Selangor, Pahang dan Perak.

Dalam kejadian sekitar jam 2.30 pagi itu, berlaku berbalas tembakan dengan pasukan pegawai dan anggota JSJ Bukit Aman dengan dibantu JSJ Kontinjen Kedah dan Melaka dengan ketiga-tiga lelaki tempatan yang berusia antara 35 hingga 37 tahun ini.

“Semasa serbuan, berlaku berbalas tembakan menyebabkan tiga suspek meninggal dunia di mana dua daripadanya berada di dalam bilik tidur utama setelah bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis.

“Situasi itu membuatkan pasukan polis yang mempertahankan diri dan ancaman nyawa bertindak membalas tembakan ke arah suspek hingga menyebabkan dua suspek mengalami kecederaan parah.

“Pada masa sama, seorang lagi suspek telah bertindak keluar dari bilik di bahagian belakang rumah sambil menyerang pasukan polis menggunakan parang dan salah seorang anggota cedera terkena libasan parang di bahagian jaket keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Tambah Mohd Shuhaily, situasi itu membuatkan pasukan polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah suspek dan menyebabkan suspek cedera parah.

Katanya, pemeriksaan ke atas kenderaan digunakan suspek di inap desa itu mendapati Honda CRV kelabu itu adalah kereta yang dilaporkan hilang di Petaling Jaya, Selangor pada 26 April lalu.

“Pemeriksaan dalam but belakang kereta juga menemui 26 nomnor pendaftaran palsu, tujuh kad touch and go, dua alat pembuka tayar serta pelbagai barangan dipercayai digunakan untuk mencuri kenderaan.

“Semakan rekod mendapati, sindiket ini melakukan sebanyak 73 kes kecurian kenderaan pacuan empat roda sejak 2023 yang mana sebanyak 18 kes direkodkan di Melaka bagi tahun ini, iaitu Januari hingga April,” jelasnya.

Empat warga Thailand berperanan sebagai penghantar kenderaan ke utara Thailand ditahan di negara jiran untuk membantu siasatan.

Jelasnya, semakan ke atas suspek pertama berusia 36 tahun memilik 54 rekod jenayah dan dadah, dan suspek kedua berumur 37 tahun mempunyai 51 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Sementara itu, suspek ketiga berusia 35 tahun pula memiliki dua kes jenayah lampau serta lima kes dadah dan polis juga berjaya mendapatkan semula dua pikap Toyota Hilux yang dicuri dan diseludup ke sempadan melalui laluan tikus.

“Hasil kerjasama dengan Unit Risikan Sempadan (URS) JSJ PDRM, Malaysian Polis Liasion Office (MPLO) dan Royal Thai Police (RTP) mendapati, kedua-dua kenderaan ini ditemui di daerah Sabayoo, Wilayah Songkla di Thailand, jam 3 petang pada 1 Mei.

“Susulan kejadian itu, kita menjalankan siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (Akta 574), iaitu cubaan membunuh serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) kerana melepaskan tembakan senjata api,” katanya.

Mohd Shuhaily berkata, pada masa sama empat warga Thailand berusia 34 hingga 58 tahun berperanan sebagai penghantar kenderaan ke utara Thailand ditahan di negara jiran untuk membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here