Sepasang suami isteri warga emas maut selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta dari arah bertentangan di kilometer (km) 64 Jalan Ipoh-Taiping, berhampiran Bukit Berapit di Padang Rengas, Kuala Kangsar. Foto Ihsan Pembaca.

KUALA KANGSAR – Sepasang suami isteri warga emas maut selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta dari arah bertentangan di kilometer (km) 64 Jalan Ipoh-Taiping, berhampiran Bukit Berapit di Padang Rengas, dekat sini hari ini.

Dalam nahas jalan raya itu, mangsa, dikenali sebagai Amir Sharifuddin Md Zahari, 68, dan Harirah Mahmud @ Abdul Samad, 68, disahkan meninggal di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian itu daripada orang awam, kira-kira pada jam 10.30 pagi.

“Siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki bersama pembonceng wanita dari arah Taiping ke Kuala Kangsar.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, secara tiba-tiba sebuah kereta jenis Toyota Yaris dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh motosikal dinaiki dua mangsa,” katanya dalam satu kenyataan..

Heisham berkata, susulan daripada pelanggaran itu, penunggang dan pembonceng motosikal warga emas berkenaan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia.

Kata beliau, sementara pemandu dan penumpang kereta bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tambah Heisham, pemandu kereta Toyota Yaris yang berusia 51 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai berkenaan nahas jalan raya itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Polis Daerah Kuala Kangsar, Inspektor Nadiah Radenan di talian 017-5491475 atau 05-7762222.

“Kami menyeru orang ramai untuk sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan lebih berhati-hati terutama di kawasan berisiko,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here