Beliau berkat, selain suami kepada wanita terbabit, pihaknya turut mengenal pasti beberapa individu lain namun siasatan lanjut masih dijalankan.
“Buat masa ini, kemungkinan ke arah itu (suami disyaki senarai suspek) dan mungkin ada orang lain lagi. Siasatan masih belum (lengkap) dan kita percaya ada orang lain yang kita ambil sebagai suspek juga,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Polis Diraja Malaysia (PDRM) Tahun 2024 di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman.
Razarudin berkata setakat ini, pihaknya sudah mengambil keterangan daripada 16 individu termasuk suami mangsa dan pemeriksaan mendapati lelaki itu masih berada di dalam negara.
“Keterangan daripada anak mangsa yang berada di Singapura juga akan diambil dalam masa terdekat,” katanya.
Razarudin berkata, turut diperiksa rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian, selain mengambil keterangan pemandu e-panggilan yang mendakwa terdapat individu menyamar anggota polis yang melarikan mangsa.
“Siasatan masih diteruskan berhubung perkara (dakwaan) menyamar polis atau memang polis yang sebenarnya membuat onar. Kami tidak bertolak ansur.
“Selama ini juga siasatan kita yang anggota terlibat samun atau kes culik, kita tuduh di mahkamah…itu ada dalam sejarah polis,” katanya.
Razarudin berkata, satu pasukan khas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah ditubuhkan, bagi menyiasat kes terbabit dengan mesyuarat pertama pada malam ini akan dipengerusikan beliau.
Beliau berkata siasatan kes berkenaan dikendalikan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.
Ling, 42, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke pejabat SPRM dengan menaiki kereta perkhidmatan e-panggilan pada 9 April.
Terdahulu, seramai 66 warga PDRM daripada 10,534 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2024, menerima sijil anugerah sebagai penghargaan atas komitmen dan prestasi cemerlang mereka dalam perkhidmatan.
Daripada jumlah itu, 1,086 merupakan pegawai kanan polis, 8,486 pegawai rendah polis dan 962 pegawai awam yang berkhidmat di Bukit Aman, kontinjen negeri, briged serta institusi latihan di seluruh negara, dengan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Wan Hassan Wan Ahmad mendahului senarai penerima anugerah.
Razarudin berkata, selain sijil APC, setiap penerima akan menerima sijil Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bernilai RM1,000 sebagai insentif tambahan, selain manfaat simpanan pendidikan dan perlindungan takaful yang berpandukan sistem kewangan patuh syariah serta dijamin oleh kerajaan. – BERNAMA