KUALA LUMPUR – Sulh perlu dijadikan kaedah utama dalam penyelesaian pertikaian secara baik dalam menyelesaikan konflik kekeluargaan.
Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia Prof. Datuk Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, kaedah terbabit mempunyai banyak kelebihan.
“Sudah masanya masyarakat diberi galakan bahawa penyelesaian pertikaian secara baik seperti sulh-mediasi ini perlu dipromosi sebagai kaedah utama dan bukan sekadar alternatif.
“Kaedah ini menjimatkan masa, kos, dan menjamin hubungan yang lebih harmoni,” kata Dr. Sharifudin dalam Majlis Apresiasi dan Penyampaian Sijil Pengantaraan Pensijilan Profesional Kemahiran Sulh-Mediasi.
Majlis itu dianjurkan USIM menerusi Fakulti Syariah dan Undang-Undang dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Jabatan Bantuan Guaman (JBG) bertempat di Dewan Utama, Fakulti Pengajian Bahasa Utama.
Majlis yang berlangsung semalam, meraikan seramai 33 peserta, termasuk 29 pegawai JBG dan empat peserta jemputan yang berjaya menamatkan kursus selama lima hari.
Kesemua peserta lulus penilaian akhir yang melayakkan mereka ditauliahkan sebagai pengantara persendirian.
“Program ini merupakan siri kelima sejak diperkenalkan dan dilaksanakan menggunakan modul yang dibangunkan oleh kumpulan penyelidik USIM bersama JKSM.
“Kursus ini menekankan pembelajaran berasaskan pengalaman serta latihan praktikal menerusi kaedah simulasi, kerja berkumpulan, permainan interaktif dan ceramah pakar dari institusi perundangan sivil dan syariah”, ujarnya.
Turut hadir Ketua Pengarah JKSM Datuk Mohd Amran Mat Zain serta Ketua Pengarah JBG Datuk Norazmi Mohd Narawi.
Sementara itu, Pengarah Program merangkap Ketua Projek Pensijilan Sulh-Mediasi, Prof. Madya Dr. Hendun Abd Rahman Shah berkata, kursus terbabit bukan sahaja memperkasa kemahiran teknikal dalam pengantaraan, malah membina jaringan sinergi antara agensi dan institusi yang terlibat dalam penyelesaian konflik luar mahkamah.
Kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi seperti USIM dengan agensi kerajaan seperti JKSM dan JBG membuktikan kejayaan pelaksanaan program pensijilan ini dalam menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat dan pembangunan ekosistem penyelesaian pertikaian yang lebih efisien di Malaysia.-MalaysiaGazette