GAZA – Seorang pegawai kanan Hamas berkata, “tiada gunanya” perbincangan lanjut mengenai gencatan senjata baharu Gaza dan perjanjian pembebasan tebusan selepas Israel mahu meluaskan serangan darat dan menduduki Gaza selama-lamanya.
Bassem Naim memberitahu BBC, kumpulan bersenjata Palestin tidak akan terlibat dengan cadangan baharu ketika Israel mahu meneruskan serangan yang disebut sebagai “perang kelaparan”.
Israel berkata, objektif peluasan serangannya untuk mengembalikan tebusan yang masih dipegang oleh Hamas.
Pegawai Israel berkata, rancangan itu melibatkan pemindahan majoriti 2.1 juta penduduk Gaza, merampas semua wilayah, dan mengawal bantuan kemanusiaan selepas sekatan dua bulan.
Katanya, serangan itu akan dilakukan selepas lawatan Presiden Donald Trump ke rantau itu minggu depan, memberikan ruang kepada Hamas untuk bersetuju dengan perjanjian tebusan.
Britain, Perancis dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mengkritik rancangan baharu Israel.
Setiausaha Agung PBB, António Guterres menyuarakan kebimbangan dan memberi amaran serangan itu “tidak dapat tidak akan membawa kepada lebih ramai orang awam terbunuh dan kemusnahan selanjutnya di Gaza”.
Agensi PBB dan rakan kongsi mereka juga mengecam cadangan Israel untuk menyampaikan bantuan melalui syarikat swasta di hab tentera, dengan mengatakan ia akan melanggar prinsip asas kemanusiaan dan mereka tidak akan bekerjasama. – Agensi