JOHOR BAHRU – Polis Johor menerima 34 laporan berhubung dakwaan ditipu satu agen pelancongan yang menawarkan pakej melancong ke China membabitkan kerugian berjumlah RM338,080.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, mangsa-mangsa terbabit membuat laporan polis itu sehingga akhir bulan lalu mendakwa ditipu syarikat Summer Happy Enterprise.
“Mangsa hanya menyedari ditipu setelah gagal menghubungi suspek apabila hampir tiba tarikh penerbangan yang dijadualkan.
“Siasatan sedang dijalankan dan dalam tindakan untuk mengesan dua individu bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, dua individu berkenaan adalah Low Siew Hwa yang beralamat di Jalan Jayamas 9, Taman Nusajaya Mas dan Lim Zhi Xuan yang beralamat di Jalan Indah 11/5, Garden Villas, Bukit Indah di sini.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun hingga 10 tahun dan sebatan dan denda. – MalaysiaGazette