Lebih 200 doktor dan pekerja kesihatan berkumpul bagi membantah pelaksanana peraturan mewajibkan klinik swasta serta farmasi mempamerkan harga ubat-ubatan dan meyerahkan memorandum kepada wakil Pejabat Perdana Menteri (PMO) ketika di Laman Perdana, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 06 MEI 2025.

KUALA LUMPUR – “Kami bukan kedai runcit, kami adalah profesion perubatan”!

Itu yang disuarakan oleh sekumpulan doktor dan pengamal perubatan swasta mengenai penggunaan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723).

Wakil Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr R Thirunavukarasu berkata, pihaknya menolak akta tersebut kerana dikuatkuasakan tanpa sebarang rundingan dan libat urus bersama pihaknya.

Menurutnya, walaupun persatuan perubatan menyokong prinsip ketelusan harga ubat namun mereka membantah keras Mekanisme Ketelusan Harga Ubat (MKHU) yang sedang dikuatkuasakan ke atas klinik swasta di bawah Akta 723.

“Kami memang tidak setuju (Akta 723) untuk klinik swasta atau perubatan swasta terutama yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM ) kerana kami memberikan perkhidmatan secara profesional kepada pesakit dengan pengalaman lebih dari 10 tahun.

“Kalau buka kedai runcit dan farmasi berbeza kerana farmasi ada tugasan dan peraturan mereka manakala kedai runcit adalah jual barang yang mana sesiapa sahaja boleh buka tanpa perlu pengalaman profesional seperi kami beri perkhidmatan kepada pesakit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri, Aznur Hafeez Kaswuri di sini hari ini.

Terdahulu, hampir 200 doktor dan pengamal perubatan menyertai himpunan di Laman Perdana bagi membantah membantah penggunaan Akta 723 berkaitan mewajibkan klinik swasta dan farmasi mempamerkan harga ubat-ubatan.

Wakil pengamal perubatan, Datuk Dr R Thirunavukarasu bercakap kepada media selepas menyerahkan memorandum kepada wakil Pejabat Perdana Menteri (PMO) bagi membantah pelaksanana peraturan mewajibkan klinik swasta serta farmasi mempamerkan harga ubat-ubatan ketika di Laman Perdana, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 06 MEI 2025.

Jelas Dr Thirunavukarasu, penggunaan Akta 723 itu melibatkan pelabelan harga ubat dan caj konsultasi pengalam perubatan (GP) dilihat tidak sesuai digunakan bagi persekitaran kilinik swasta.

“Pengawalseliaan ketelusan dan paparan harga ubat di klinik swasta seharusnya tertakluk di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) dan bukan Akta 723.

“Malah Akta 586 telah digubal khusus untuk mengawal selia kemudahan kesihatan swasta dengan mengambil kira tadbir urus klinikal, keselamatan pesakit dan keadilan harga.

“Pada masa sama, pelaksanaan peraturan paparan harga di bawah undang-undang perdagangan yang direka untuk kawalan harga peniaga adalah tidak bersesuaian.

“Situasi itu boleh mengakibatkan kesan tidak diingini seperti pesakit membuat keputusan semata-mata berdasarkan harga dan bukannya nasihat profesional perubatan,” ujarnya.

Pada Februari lalu satu mesyuarat advokasi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad telah menyatakan pelaksanaan ketelusan harga ubat di klinik swasta hanya akan berlaku selepas semakan semula yuran konsultasi yang telah lama tertangguh.

“Kadar caj konsultasi untuk GP swasta telah dicadangkan oleh MMA pada tahun 1992 dan kemudian diterima pakai di bawah Akta 586 apabila digazetkan pada 2006 dengan yuran ditetapkan antara RM10 hingga RM35 di bawah Jadual Ketujuh dan tidak pernah disemak selama lebih 33 tahun.

“Kadar ini tidak lagi mencerminkan realiti kos operasi, inflasi, kenaikan gaji kakitangan, penggunaan teknologi, keperluan kawal selia dan keperluan dokumentasi serta pendigitalan,” katanya.

Bermula 1 Mei lalu, semua klinik dan farmasi swasta memaparkan harga ubat-ubatan dengan tujuan meningkatkan ketelusan dan membantu pengguna membuat pilihan berdasarkan harga.

Langkah itu dilaksanakan mengikut Akta 723 dengan objektif meningkatkan ketelusan dalam urus niaga dan membolehkan pengguna membuat perbandingan harga. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here