BANGI – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selaku tuan rumah Karnival Jom Masuk U (JMU) Zon Tengah 2 menyasarkan kehadiran sekitar 10,000 pengunjung ke program tersebut yang akan berlangsung pada 10 dan 11 Mei 2025 bertempat di Dewan Tun Abdullah Mohd Salleh.
Program ini merupakan salah satu sinergi antara Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dengan Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) di seluruh Malaysia, dengan objektif utama memastikan anak-anak bangsa mendapat pengetahuan dan panduan yang jelas berkaitan dengan hala tuju pendidikan setelah tamat
pengajian di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf.
JMU yang dianjurkan secara bersama dengan Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA), JPT dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merupakan acara tahunan yang diadakan mengikut zon negeri di seluruh Malaysia.
Bagi JMU Zon Tengah 2, UKM menjemput para pelajar, ibu bapa, seisi keluarga dan orang awam untuk hadir beramai-ramai bagi meninjau dan mencari peluang melanjutkan pendidikan di 66 institusi penddikan tinggi awam dan swasta serta agensi-agensi kerajaan dan badan berkanun.
Sepanjang dua hari karnival itu berlangsung, pelbagai aktiviti menarik bakal diadakan seperti pameran program pengajian oleh institusi pendidikan tinggi, konsultansi dan khidmat nasihat berkaitan laluan pendidikan yang sesuai mengikut kelayakan dan kecenderungan minat potensi individu.
Selain itu, turut diadakan taklimat serta tips dan teknik pengisian sistem UPUOnline, peluang tajaan dan bantuan kewangan bagi melanjutkan pengajian, sesi motivasi dan perkongsian oleh alumni UKM dan tokoh masyarakat tersohor, pameran aktiviti STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik)
dan cabutan bertuah bagi pengunjung yang hadir.
Pada karnival itu, UKM akan turut melancarkan Pusat Penilaian APEL (PPA) UKM. APEL adalah Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (Accreditation of Prior Experiential Learning), merupakan satu proses sistematik yang melibatkan identifikasi, dokumentasi dan penilaian
pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu.
APEL juga secara tidak langsung merupakan satu bentuk pengiktirafan kepada pengalaman dan kepakaran kepada individu yang telah berada di alam pekerjaan (pembelajaran sepanjang hayat).
Ibu bapa, golongan bekerjaya dan orang awam berpeluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat seterusnya sama ada peringkat ijazah pertama dan pascasiswazah dengan menggunakan pengalaman kerjaya masing-masing.
Agenda ini selari dengan hasrat kerajaan dalam membangunkan masyarakat berilmu melalui pembelajaran sepanjang hayat sebagai pemacu bagi pembangunan sumber manusia negara. – MalaysiaGazette