KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus mengorak langkah dalam memperkukuh jalinan antarabangsa apabila telah menandatangani satu Surat Hasrat (LoI) bersama Kolej International Graduates Studies (KIGS), Brunei Darussalam.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, jalinan kerjasama tersebut bakal membuka peluang luas untuk UMS
memperkukuh jaringan global dan membina sinergi akademik rentas sempadan.
Menerusi kerjasama strategik ini, kedua-dua institusi bersetuju untuk menawarkan program-program akademik yang menepati keperluan pasaran semasa di Brunei.
Selain daripada program-program akademik, UMS melalui Pusat Pendidikan Fleksibel UMS (UMSFLEC) dan KIGS juga merancang menawarkan program-program bersifat pembelajaran sepanjang hayat merangkumi kursus-kursus jangka pendek dan profesional.
Kerjasama ini dijangka mampu menjadi pemangkin dan game changer kepada UMS untuk terus menerokai peluang kerjasama antarabangsa yang mampu memberikan pulangan lestari kepada universiti, selari dengan objektif UMSFLEC sebagai sebuah Unit Perniagaan Strategik di UMS.
Majlis menandatangani LoI itu yang berlangsung di Pejabat Naib Canselor UMS disempurnakan oleh Dr. Kasim serta Ketua Pegawai Eksekutif KIGS, Mahrub Awang Murni. – MalaysiaGazette