SEGAMAT – Seorang bayi baru lahir yang dalam keadaan dibalut kain batik, kotor dan dihurung semut ditinggalkan di sebuah rumah di Felda Redong, di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, pihak polis menerima laporan penemuan bayi tersebut daripada tuan rumah terbabit berusia 60-an.
“Hasil siasatan, pemilik rumah seorang lelaki warga tempatan sebelum itu, ada terdengar bunyi tangisan bayi malang berkenaan.
“Kira-kira pukul 7.45 malam, dia menemui bayi lelaki dengan dibaluti kain batik, kotor dan bersemut ketika keluar untuk ke masjid menunaikan solat Maghrib.
“Dia kemudian membersihkannya sebelum membawa bayi ke dalam rumah dan menghubungi anak perempuannya bagi memaklumkan kejadian itu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superintendan Ng Swie Chait.
Ahmad Zamry berkata, bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan awal.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bayi lelaki itu cukup sifat dan dipercayai baru dilahirkan kira-kira empat jam berdasarkan keadaannya masih bertali pusat dan mempunyai kesan darah.
“Tiada sebarang nota ditinggalkan sekitar lokasi penemuan bayi tersebut.
“Bayi tersebut kini diletakkan bawah pengawasan pihak Hospital Segamat untuk pemeriksaan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi (menyembunyikan kelahiran).
“Polis memohon kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan untuk tampil membantu siasatan,”katanya.
Beliau menghargai tindakan penduduk setempat yang segera melaporkan kejadian itu serta mengingatkan bahawa pembuangan bayi adalah satu kesalahan jenayah yang serius dan tidak berperikemanusiaan. – MalaysiaGazette