JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warganegara Singapura berdepan hukuman mati di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan memiliki dan mengedar 10.11 kilogram (kg) dadah bulan lalu.
Tertuduh, Tan Ban Choon yang berusia 48 tahun, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim, Mohammad Khalid Ab Karim.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan berikutan kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, Ban Choon yang tidak bekerja didakwa mengedar dadah jenis serbuk 3,4 Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 10,024 gram (g).
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding mahkamah yang sama, tertuduh juga berdepan empat pertuduhan memiliki dadah jenis heroin dengan berat kasar 9.00 gram (g), kanabis (44g) dan serbuk 3,4 Methylenedioxymethamphetamine (6 g) dan ketamin 31.30 g.
Kesemua perbuatan mengedar dan memiliki itu dilakukan di sebuah rumah di Danga Bay di sini pukul 10 malam pada 23 April lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 12 (3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau keduanya jika sabit kesalahan.
Pertuduhan juga dibuat bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39A akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun tetapi tidak lebih lima tahun dan tidak kurang tiga sebatan dan tidak lebih sembilan sebatan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Mamu manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak menetapkan jaminan dan kes disebut semula pada 29 Julai untuk laporan kimia.- MalaysiaGazette