endakwah terkenal, Syeikh Muhd Zainul Asri Mohd Romli.

KUALA LUMPUR – Pendakwah terkenal, Syeikh Muhd Zainul Asri Mohd Romli tampil memberi penjelasan mengenai videonya mengenai seorang dianggap wali yang pernah menunaikan solat bersama bunian dan menjadi kontroversi baru-baru ini.

Katanya, rakaman video yang berdurasi 3.36 minit itu sebenarnya sudah dipadam daripada rekod simpanan medianya sejak Oktober tahun lalu.

Jelasnya, pihaknya memadam semua video berkenaan selepas perjumpaan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAIK) pada 13 Oktober 2024.

“Sejak tarikh perjumpaan itu, tidak ada sebarang video kontroversi baharu dimuat naik ke mana-mana saluran media sosial kami. Video yang sedang diviralkan pada masa ini adalah rakaman lama yang direkodkan sebelum sesi perjumpaan dengan pihak JHEAIK diadakan.

“Saya menarik balik semua video terdahulu dan ingin menegaskan tiada lagi kandungan bersifat kontroversi akan dimuat naik ke platform media sosial kami,” katanya menerusi video yang dimuat naik ke media sosial miliknya semalam.

Mengulas lanjut, Zainul  menerima nasihat dan teguran daripada JHEAIK dengan hati yang terbuka.

Beliau juga bersedia bekerjasama dan menerima jika jabatan itu ingin mengambil tindakan sewajarnya kelak.

“Semua pihak perlu memberi kerjasama kepada JHEAIK dalam isu yang timbul dan dibangkitkan serta memahami semua video lama dianggap tidak sesuai dan semua sudah dipadam atas nasihat JHEAIK,” katanya lagi.

Sebelum ini tular di media sosial sejak beberapa hari lalu berhubung video berdurasi satu minit 31 saat memaparkan pendakwah terkenal dipercayai dalam satu majlis berserta kapsyen ‘Kisah Paksu Mid Solat Jumaat Bersama Bunian di Tengah Laut’.

Kemudian semalam, JHEAIK memaklumkan pihaknya sedang menyiasat perkara itu dan akan memanggil individu terbabit bagi mendapatkan penjelasan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here