Foto Facebook KRW FC.

KUALA LUMPUR – Kelantan Red Warriors FC (KRW FC) terus mendapat suntikan semangat untuk beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) musim depan apabila mendapat tajaan berjumlah RM1 juta daripada Warrix.

Perjanjian selama dua musim itu akan menyaksikan Warrix akan menghasilkan jersi menggunakan warna ikonik pasukan iaitu merah dan putih untuk jersi utama dan kedua.

Majlis memeteraikan perjanjian antara kedua-dua pihak itu dibuat di Warrix Flagship Store, Siam Square, Bangkok, Thailand.

KRW diwakili Presiden, Nik Hafiz Naim Nik Hassan manakala Warrix pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Wisan Wanasaksrisaku.

Turut sama hadir ialah Pengarah Universal Sports Sdn. Bhd., Tan Peng Koon di mana  Universal Sports merupakan pengedar rasmi jenama Warrix di Malaysia.

Sementara itu, Nik Hafiz berkata, pemilihan Warrix sebagai penaja kit rasmi juga adalah kerana misi KRW FC dan Warrix seiring dengan matlamat kelab untuk memperkasa pembangunan sukan akar umbi dengan melabur dalam pembangunan bolasepak pada peringkat awal.

“Warrix juga mempunyai hubungan bersama Akademi Bayern Munich dan akan membantu KRWFC untuk membangunkan pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi.

“Warrix dan Warrior adalah usahasama dua pahlawan, satu hati menuju kejayaan dalam perniagaan dan juga pembangunan bolasepak di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Foto Facebook KRW FC.

Wisan pula menyifatkan kerjasama itu bersifat menang-menang buat Warrix dan KRW  kerana kerjasama itu dilihat dapat membantu mengembalikan kegemilangan pasukan Pantai Timur itu.

“Saya telah lama mengenali Kelantan Red Warrior dan berharap untuk menjalinkan kerjasama. Hari ini kerjasama antara Warrix dan Kelantan Red Warrior telah kita meterai bersama.

“Bagi pihak Warrix, kami amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan KRWFC dan berharap kerjasama ini bukan sahaja dapat meluaskan pasaran Warrix di Kelantan malah dapat membantu mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak Kelantan Red Warrior,” katanya.

KRW menjadi pasukan Liga-M kedua yang menerima tajaan Warrix selepas Negeri Sembilan FC turut memeterai kerjasama dengan pembuat pakaian sukan Thailand itu.

Selain Negeri Sembilan dan Kelantan RW, Warrix turut menaja Phnom Penh Crown (Kemboja), skuad kebangsaan Thailand dan BG Tampines Rovers (Singapura). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here