BANGKOK – Thai Airways mengubah laluan penerbangan bagi destinasi ke Eropah dan Asia Selatan bermula awal pagi ini susulan penutupan ruang udara Pakistan dan beberapa lapangan terbang akibat konflik di antara India dan Pakistan.
Syarikat penerbangan itu turut memberi amaran terdapat penerbangan yang dijangka lewat dari jadual.
Dalam pada itu, beberapa syarikat penerbangan Asia lain turut memaklumkan terpaksa mengubah laluan atau membatalkan penerbangan dari/ke Eropah akibat konflik tersebut.
Untuk rekod, India menyerang Pakistan dan Kashmir, susulan itu Pakistan mengesahkan telah menembak jatuh lima jet pejuang India dalam konflik terburuk dalam tempoh dua dekad.
Eva Air dalam kenyataannya berkata, ia terpaksa menukar laluan atau membatalkan penerbangan ke/dari Eropah susulan konflik di anatra dua negara berkenaan.
Syarikat penerbangan Taiwan itu menambah, mereka terpaksa mengelakkan ruang udara yang melibatkan India dan Pakistan atas dasar keselamatan.
Korean Air pula memaklumkan, syarikat itu telah mula mengubah laluan penerbangannya dari Seoul Incheon ke Dubai pada hari Rabu, memilih laluan selatan yang merentasi Myanmar, Bangladesh, dan India, berbanding laluan sebelum ini yang melalui ruang udara Pakistan.
Sementara itu, Vietnam Airlines menyatakan bahawa ketegangan antara India dan Pakistan telah menjejaskan jadual penerbangannya dan butiran lanjut mengenai perubahan laluan akan diumumkan kemudian.
China Airlines dari Taiwan berkata bahawa pihaknya telah mengaktifkan pelan kecemasan dan “mengambil beberapa langkah bagi memastikan keselamatan penumpang dan anak kapal.” Namun begitu, tiada perincian lanjut diberikan.
Laman web Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan di Taiwan memberitahu, penerbangan tanpa henti ke London oleh China Airlines pada hari Rabu telah dibatalkan.
Sebelum pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, banyak penerbangan dari Taiwan ke Eropah menggunakan laluan yang melalui ruang udara Rusia, tetapi syarikat penerbangan Taiwan kini diharamkan daripada berbuat demikian selepas Taipei menyertai sekatan Barat terhadap Moscow.
Kini, mereka lazimnya menggunakan laluan melalui India, Pakistan dan Asia Tengah. -Agensi