Penduduk tempatan cuba keluar dari kampung di daerah Jammu, India selepas serangan artileri dari Pakistan, 7 Mei 2025. Foto AFP

MUZAFFARABAD, PAKISTAN – India dan Pakistan saling berbalas tembakan artileri berat di sepanjang sempadan yang menjadi pertikaian, awal hari ini.

Ia susulan tindakan New Delhi melancarkan serangan peluru berpandu yang mengorbankan nyawa di Pakistan sekali gus menandakan keganasan terburuk dalam tempoh dua dekad di antara dua negara yang memiliki nuklear itu.

Sekurang-kurangnya 34 dilaporkan terkorban dengan Islamabad mendakwa 26 orang awam terbunuh akibat serangan dan tembakan di sempadan India, manakala New Delhi melaporkan sekurang-kurangnya lapan kematian akibat bedilan dari Pakistan.

Serangan itu berlaku susulan New Delhi mendakwa Islamabad menyokong serangan maut di wilayah Kashmir yang ditadbir India, bulan lalu.

Kedua-dua pesaing Asia Selatan itu telah berperang beberapa kali sejak pemisahan mereka dari India yang diperintah British pada 1947.

Peningkatan ketegangan terbaharu ini mengatasi serangan India pada tahun 2019, apabila New Delhi mendakwa telah menyerang “beberapa militan” selepas seorang pengebom berani mati membunuh 40 anggota para-militari India.

Tentera India mengisytiharkan “keadilan telah ditegakkan” dengan melaporkan sembilan “kem pelampau” telah dimusnahkan.

New Delhi menegaskan tindakannya adalah fokus, terancang dan tidak bertujuan untuk meningkatkan ketegangan.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Muhammad Asif, menuduh Perdana Menteri India, Narendra Modi, melancarkan serangan itu untuk “meningkatkan populariti domestiknya”.

Dalam masa sama, beliau turut mengesahkan Islamabad telah bertindak balas terhadap serangan India.

“Serangan balas telah pun bermula. Kami tidak akan mengambil masa lama untuk membalas dendam,” kata Asif kepada AFP.

Jurucakap tentera, Ahmed Sharif Chaudhry pula mendakwa lima jet pejuang India telah ditembak jatuh di sempadan.

Seorang sumber keselamatan kanan India, yang tidak mahu dikenali, mengesahkan bahawa tiga jet pejuang India telah terhempas dalam wilayah India.

Jurugambar AFP juga sempat merakam imej serpihan sebuah pesawat di Wuyan, di bahagian Kashmir yang dikawal India.

Di Muzaffarabad, bandar utama di Kashmir yang ditadbir Pakistan, tentera menutup jalan di sekitar sebuah masjid yang dikatakan telah terkena serangan. Kesan letupan turut kelihatan pada rumah-rumah berhampiran.

Pakistan melaporkan 21 kematian orang awam akibat serangan peluru berpandu – termasuk empat kanak-kanak manakala lima lagi terbunuh akibat tembakan di sempadan.

Tentera India menuduh Pakistan melakukan tembakan “sewenang-wenangnya” merentasi Garisan Kawalan (LoC) iaitu sempadan de facto di Kashmir.

“Kami terjaga dengan bunyi tembakan,” kata Farooq, seorang lelaki dari bandar Poonch, India, kepada Press Trust of India dari katil hospitalnya, dengan kepala berbalut.

“Saya lihat peluru menghujani kami.”

Wartawan AFP di bandar itu menyaksikan letupan api apabila peluru meletup.

Sekurang-kurangnya lapan rakyat India terbunuh dan 29 lagi cedera di Poonch, menurut pegawai hasil tempatan, Azhar Majid.

India dijangka bertindak balas secara ketenteraan terhadap serangan 22 April ke atas pelancong di Kashmir yang ditadbir India oleh penyerang bersenjata yang menurutnya adalah ahli kumpulan Lashkar-e-Taiba yang berpangkalan di Pakistan, sebuah organisasi pengganas yang disenaraikan oleh PBB.

Serangan di kawasan pelancongan Pahalgam itu mengorbankan 26 orang, kebanyakannya lelaki Hindu.

New Delhi menyalahkan Islamabad kerana menyokong penyerang, mencetuskan ancaman panas dan tindakan diplomatik balas-membalas.

Pakistan menolak dakwaan tersebut dan menyeru kepada siasatan bebas.

Perdana Menteri Shehbaz Sharif menyifatkan serangan India itu sebagai “tindakan pencerobohan yang kejam” yang “tidak akan dibiarkan tanpa pembalasan” dan memanggil mesyuarat tergempar Jawatankuasa Keselamatan Negara di Islamabad pada hari Rabu.

Kedua-dua pihak dilaporkan berbalas tembakan setiap malam di sepanjang LoC sejak 24 April, menurut tentera India. Pakistan turut memaklumkan bahawa mereka telah menjalankan dua ujian peluru berpandu.

“Peningkatan ketegangan antara India dan Pakistan kini telah mencapai tahap yang lebih besar berbanding krisis utama terakhir pada 2019, dengan potensi akibat yang buruk,” kata Praveen Donthi, penganalisis di International Crisis Group.

Tekanan diplomatik semakin meningkat terhadap kedua-dua pihak agar meredakan ketegangan.

“Dunia tidak mampu menghadapi satu lagi konfrontasi ketenteraan antara India dan Pakistan,” kata jurucakap Setiausaha Agung PBB António Guterres, Stéphane Dujarric, dalam satu kenyataan.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memberitahu pemberita di Washington bahawa beliau berharap konflik itu “berakhir dengan cepat”.

Setiausaha Negara AS Marco Rubio berkata beliau telah berbincang dengan pegawai keselamatan kanan di New Delhi dan Islamabad sejak serangan tersebut dan sedang “memantau situasi secara dekat.”

Kebimbangan turut disuarakan dari seluruh dunia termasuk China – jiran kepada kedua-dua negara – serta Britain, Perancis dan Rusia. Beberapa syarikat penerbangan telah membatalkan, mengubah laluan atau mengelakkan penerbangan di rantau tersebut.

Di Kashmir yang ditadbir India, pemberontak telah melancarkan pemberontakan sejak 1989, menuntut sama ada kemerdekaan atau penyatuan dengan Pakistan.

India sering menuduh jirannya menyokong kumpulan bersenjata yang beroperasi di Kashmir – dakwaan yang sentiasa dinafikan oleh Islamabad.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, dijangka tiba di New Delhi pada hari Rabu, hanya dua hari selepas melawat Islamabad, dalam usaha Teheran untuk menjadi orang tengah. -AFP

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here