KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pernah mengeluarkan waran tangkap terhadap Datin Seri Pamela Ling yang diperoleh daripada Mahkamah Majistret Putrajaya atas kesalahan gagal mematuhi perintah menghadiri pemeriksaan bagi tujuan melengkapkan siasatan.
Menurut SPRM, wanita itu dan suaminya, Datuk Seri Hah Tiing Siu disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dimulakan pada Mei 2024 di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
SPRM berkata, kertas siasatan telah dibuka pada 28 Mei 2024, dan Hah Tiing Siu telah di panggil untuk memberikan keterangan berkaitan kes kepada pihak SPRM.
Bagi melengkapkan siasatan, SPRM juga telah mengesan dan memanggil Pamela untuk hadir ke ibu pejabat SPRM memberikan keterangan, namun beliau ingkar dan gagal memberikan kerjasama.
“Sehubungan itu, pada 2 Disember 2024, waran tangkap terhadap Pamela dan lanjutan daripada itu, pada 8 Januari 2025, satu tindakan operasi bersama pihak Corrupt Practices Investigation Bureau (CPIB) Singapura telah dilancarkan dan Pamela telah ditahan secara sah dan dibawa pulang ke Malaysia.
“Pada 9 Januari 2025, Pamela telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman. Permohonan reman telah dibenarkan selama tiga hari iaitu dari 9 Januari 2025 sehingga 11 Januari 2025. Selepas tamat tempoh reman, beliau dilepaskan dengan ikat jamin SPRM,” katanya dalam kenyataan di sini.
Pada 9 April 2025, SPRM telah meminta Pamela hadir ke ibu pejabat SPRM bagi meneruskan rakaman percakapan lanjutan maklumat-maklumat baharu yang diperolehi oleh SPRM.
Berdasarkan maklumat ini, pihak SPRM juga telah mendapat izin dan perintah daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk menahan dokumen perjalanan Pamela Ling Yueh melalui serahan Notis Penyerahan Dokumen Perjalanan Seksyen di bawah Seksyen 44 (1) Akta SPRM 2009.
Walau bagaimanapun, Pamela Ling gagal hadir pada hari tersebut dan peguamnya kemudian membuat laporan polis mengenai kehilangannya pada hari yang sama.
SPRM menegaskan, suruhanjaya itu telah bertindak mengikut kerangka undang-undang, termasuk mendapatkan semua perintah mahkamah yang diperlukan serta mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Lantaran itu, dakwaan gangguan atau salah laku adalah tidak berasas.
Dalam pada itu, SPRM berkata, semakan kehakiman yang difailkan oleh Pamela Ling sebelum kehilangannya tidak menafikan atau membatalkan siasatan yang sedang dijalankan berhubung kesalahan yang disyaki.
Jelasnya, cabaran perundangan adalah hak mana-mana individu tetapi ia tidak mengganggu perjalanan penguatkuasaan mengikut proses perundangan yang ditetapkan.
“Sejak laporan kehilangan Pamela, SPRM telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang kini mengetuai siasatan tersebut.
“Sehubungan itu, SPRM berharap semua pihak mengelakkan spekulasi yang boleh mengganggu siasatan atau mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Pada peringkat ini, keutamaan kita bersama adalah untuk memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa agar usaha mengesan dan membawa pulang Pamela Ling dapat dijalankan dengan lancar, selamat dan secepat mungkin,” tambahnya. – MalaysiaGazette