KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menjadi pilihan Institusi Pendidikan Tinggi Rusia, Moscow Aviation Institute (MAI) menjalin kerjasama strategik menerusi pemeteraian Surat Niat (LoI).
Surat LoI tersebut ditandatangani oleh Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin dan Naib Rektor Hal Ehwal Akademik dari pihak MAI, Dr Prof Dmitriy Kozorez di salah sebuah hotel di Bandaraya Melaka, baru-baru
Ia disaksikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, Datuk Ts. Mustapha Sakmud dan Timbalan Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Persekutuan Rusia, Airat Gatiyatov.
Massila berkata, peristiwa ini menjadi lembaran baharu buat UTeM kerana pertama kali dalam sejarah menjalin hubungan dan kerjasama strategik bersama institusi pendidikan tinggi dari negara Rusia.
Jelasnya, agenda ini juga turut memberi impak langsung pengukuhan hubungan baik yang sedia terjalin antara Malaysia dan Rusia dalam konteks pelebaran kerjasama di pentas antarabangsa berfokus kemajuan pendidikan tinggi.
Mengulas berhubung pengisian kerjasama UTeM dan MAI ini, Massila menyatakan kedua-dua pihak menumpukan kepada perkongsian kepakaran penyelidikan dalam empat bidang tumpuan utama yang hangat menjadi tumpuan dunia masa kini.
“Empat bidang tersebut adalah Sains Komputer, Sains Bahan, Mekatronik, serta Penyelenggaraan dan Pembaikan Pesawat.
“Selain itu, UTeM dan MAI berhasrat untuk menjayakan program pertukaran staf dan pelajar, termasuk penganjuran program musim panas serta usaha promosi bersama bagi program akademik masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, agenda ini tentunya telah menepati dua perkara utama iaitu menyokong Pelan Strategik UTeM dan pada masa yang sama bertepatan serta memenuhi Fokus 4 Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) iaitu Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi.
Katanya lagi, inisiatif strategik ini selari dengan aspirasi Universiti TVET terbaik di Malaysia ini memantapkan jaringan global dalam ruang tanpa sempadan di pentas global.
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), KPT, Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian,
Sehari sebelum majlis berkenaan UTeM telah menerima kunjungan hormat daripada Delegasi Kumpulan Kerja Pendidikan, Sains dan Teknologi di bawah Suruhanjaya Bersama Persekutuan Rusia-Malaysia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Kebudayaan.
Lawatan ini melibatkan lebih lima puluh orang Naib Canselor dan wakil kanan institusi pengajian tinggi dari Rusia, yang hadir bagi meneroka potensi kolaborasi strategik bersama institusi pendidikan tinggi di Malaysia. -MalaysiaGazette