KUALA LUMPUR – Kerajaan didesak supaya lebih tegas dalam isu pensijilan halal, khususnya ketika rundingan Halangan Bukan Tarif (NTB) bersama Amerika Syarikat (AS) yang melibatkan kepentingan negara.
Ketua Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP), Datuk Ahmad Yahaya berkata, isu itu timbul apabila pensijilan halal disenaraikan sebagai salah satu daripada empat perkara yang mahu dirundingkan oleh AS susulan keputusan negara itu menaikkan tarif sebanyak 24 peratus terhadap barangan dari Malaysia.
Menurut beliau, pensijilan halal tidak sepatutnya dijadikan isu rundingan semata-mata kerana ia berkait rapat dengan prinsip agama Islam dan sensitiviti umat Islam di negara ini.
“DUPP berpandangan bahawa masalah utama dalam pensijilan halal bukan terletak pada proses birokrasi semasa permohonan, tetapi lebih kepada tahap pematuhan dan pengetahuan syarikat luar mengenai keperluan halal di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu menegaskan, isu pensijilan halal melibatkan aspek yang sangat teknikal dan bersandarkan hukum syarak, justeru perlu difahami secara menyeluruh oleh pihak yang terlibat dalam perdagangan dengan negara ini.
Sehubungan itu, Ahmad menekankan kepentingan untuk melibatkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam rundingan bersama AS, memandangkan agensi itu merupakan pihak berkuasa utama dalam urusan pensijilan halal di Malaysia.
“Pihak Jakim tidak boleh diketepikan dalam rundingan ini. Kelayakan dan bidang kuasa mereka mesti diiktiraf, terutamanya apabila kita berbicara soal pensijilan halal,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) perlu berpegang kepada prinsip tegas dan tidak sesekali mengorbankan standard halal negara hanya untuk memenuhi tuntutan rundingan antarabangsa.
“DUPP menyarankan agar kerajaan tidak melonggarkan sebarang protokol halal hanya kerana mahu mencapai persetujuan dalam rundingan NTB bersama AS,” ujarnya.
Katanya, sebarang rundingan antarabangsa wajib mengambil kira kedaulatan serta maruah negara, terutama dalam hal yang berkaitan dengan agama Islam dan kepentingan umatnya di Malaysia. – MalaysiaGazette