Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. (Gambar Fail)

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggesa Jabatan Peguam Negara dan Kerajaan Malaysia untuk melaksanakan proses ekstradisi bekas rakan kongsi Goldman Sachs, Tim Leissner ke negara ini dengan hasrat yang tulen.

Firma guaman yang mewakili beliau, Shafee & Co Advocates & Solicitors dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya meminta supaya kronologi setiap langkah yang diambil semasa proses ekstradisi itu turut diterbitkan.

“Ketelusan penuh daripada pihak Putrajaya dan Washington penting untuk menghapuskan keraguan orang ramai selain membuktikan keadilan dilaksanakan secara saksama dan bukannya mengikut keselesaan politik.

“Datuk Seri Najib tetap bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang ikhlas berusaha Leissner ke muka pengadilan di mahkamah Malaysia dan mendedahkan kebenaran sepenuhnya kepada seluruh negara,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan media termasuk The Wall Street Journal semalam yang mendakwa Kerajaan Malaysia telah menghantar permohonan kepada Kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk mengekstradisi lelaki itu ke negara ini atas peranannya dalam skandal 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Tambah kenyataan itu, amat membimbangkan apabila dimaklumkan Jabatan Peguam Negara telah menghantar permintaan ekstradisi sembilan bulan lalu namun tidak memaklumkan kepada mahkamah, pihak pembelaan mahu pun rakyat Malaysia sehinggalah sehari selepas pembelaan Najib ditutup.

“Keputusan untuk membisu begitu lama menimbulkan persoalan sama ada permintaan ekstradisi itu sengaja ditangguhkan ketika fasa-fasa penting perbicaraan sekali gus menafikan pihak pembelaan maklumat yang amat relevan — khususnya identiti pegawai-pegawai yang diakui oleh Tim Leissner telah disogok.

“Sekiranya maklumat itu diketahui lebih awal, ia berkemungkinan besar merupakan bukti yang boleh menyokong pembelaan beliau (Najib),” katanya lagi.

Menurut kenyataan tersebut, orang ramai pasti masih ingat pada 27 Oktober 2021, bekas Perdana Menteri itu pernah membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta agar Leissner diekstradisi ke Malaysia susulan pengakuan bersalahnya atas kesalahan merasuah pegawai-pegawai 1MDB dan kerajaan.

Malah pegawai penyiasat kes berkenaan, Nur Aida Ariffin yang juga merupakan saksi pendakwaan ke-49 dalam perbicaraan 1MDB yang sedang berlangsung mengaku semasa soal balas bahawa beliau tidak mengetahui apa yang telah berlaku terhadap laporan SPRM tersebut.

Ketika memberikan keterangan pada 6 Disember 2024, Najib sekali lagi menekankan ketiadaan tindakan susulan oleh agensi penguatkuasaan.

Dalam pada itu, disebabkan ketiadaan tindakan proaktif daripada SPRM terhadap laporan yang dibuat oleh Najib serta tiada inisiatif daripada Kerajaan Malaysia untuk mengekstradisi Leissner, Najib, dalam usaha untuk membersihkan nama dan mengenal pasti secara khusus pegawai-pegawai 1MDB dan kerajaan yang diakui oleh Leissner sebagai penerima rasuah, telah memfailkan permohonan penemuan dokumen (di bawah 28 U.S.C. § 1782) di Mahkamah Daerah Selatan New York pada tahun 2023.

Bagaimanapun, atas permintaan Kerajaan AS, mahkamah telah menangguhkan permohonan tersebut dengan alasan bahawa pendedahan maklumat itu mungkin menjejaskan perbicaraan Roger Ng yang sedang berjalan pada ketika itu.

Namun bekas Presiden UMNO itu tidak berputus asa dan terus mengambil langkah proaktif.

Pada Februari 2025, beliau memohon untuk membuka semula prosiding penemuan dokumen (§ 1782) di Mahkamah Daerah Selatan New York supaya Leissner boleh disoal balas berkenaan fakta-fakta penting tersebut.

Bagaimanapun seorang hakim majistret di AS telah menolak permohonan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here