KUALA LUMPUR – Gabungan NGO MyAqsa Defenders (MyAD) melancarkan jihad ke atas Israel melalui tiga cara iaitu digital, ilmu dan fizikal.
Gabungan 18 NGO itu berkata, inisiatif terbabit sebagai menyahut seruan para ulama di seluruh dunia untuk melancarkan jihad ke atas Israel.
Inisiatif jihad akan dilancarkan di dalam sebuah Perkampungan Gaza Bangkit yang akan diadakan di lokasi pertama di Murtadha Dakwah Centre (Madad), Sungai Petani, Kedah pada 30 Mei sehingga 1 Jun sebelum jerayawara digerakkan ke seluruh tanah air.
Ia turut berlangsung di Pakistan, Sri Lanka, Turkiye dan Indonesia yang telah memberikan persetujuan awal.
“Di Madad, perkampungan ini dijangka menarik kehadiran seramai 50,000 orang dengan 10,000 daripadanya mendaftar sebagai penggerak aktif kempen ini.
“Akhirnya, hari ini kita sedang berdepan dengan orang gila yang suka membunuh anak kecil! Apa yang sedang berlaku adalah soal prinsip dan maruah.
“Jika kita gagal bersuara dan bertindak pada hari ini, kita sedang membiarkan generasi akan datang mewarisi ketakutan dan kebisuan. Perang ini bukan sekadar tentang Gaza,ini perang menentukan hala tuju kemanusiaan. Jangan hanya jadi penonton,” katanya.
Jihad Digital membabitkan penubuhkan unit khas memerangi ‘hasbara’ Israel dan menumpukan untuk mematahkan naratif negara pengganas itu di saluran media massa dan media sosial.
Katnya, askar Israel menyamar dan memanipulasi menggunakan bot AI untuk mencucuk jarum pecah-belah kepada masyarakat dunia.
Gabungan MyAqsa Defenders dengan sokongan komuniti celik digital melancarkan operasi jejak dan bongkar akaun penyamar, sabotaj ‘hasbara’, dan menyebarkan kebenaran dengan fakta dan suara rakyat Gaza sendiri.
Jihad Ilmu pula mengetengahkan modul khusus memberikan pemahaman masyarakat awam berkaitan jihad, cabang-cabang dan tuntutannya serta modul lengkap memahami isu Palestin.
Ini supaya perjuangan pembebasan dilandaskan kepada ilmu pengetahuan dan fakta, bukan semangat dan emosi semata-mata.
“Modul isu Palestin, penjajahan dan kezaliman akan diusulkan kepada pihak berwajib untuk diangkat sebagai silibus pendidikan supaya menjadi pengajaran generasi akan datang,” katanya.
Sementara Jihad Fizikal melibatkan kempen menghidupkan semula sukan sunnah seperti berenang, memanah dan berkuda secara bersistem dan tersusun.
Ia selaras dengan perjuangan yang memerlukan stamina dan kekuatan emosi, akal dan jiwa yang rahsianya ada pada sukan-sukan sunnah yang telah disarankan oleh Rasulullah.-MalaysiaGazette