IPOH – Satu laporan polis dibuat berhubung penyebaran maklumat palsu di media sosial yang dikaitkan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning yang baharu, Dr Mohamad Yusri Bakir.
Mohamad Yusri berkata, bahawa laporan polis itu dibuat oleh pegawai beliau di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, pagi tadi.
“Sudah buat laporan polis (berhubung penyebaran maklumat palsu). (Diterima menerusi) Hantaran individu sejak semalam,” jawabnya ringkas ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial hantaran berhubung Pelaburan Saham Islamik yang turut memaparkan wajah ADUN berkenaan.
ADUN terbabit menerusi Facebooknya, Dr Ustaz Yusri Bakir hari ini membuat satu hantaran menafikan pembabitan beliau berhubung penyebaran maklumat palsu itu.
“Saya ingin menegaskan bahawa terdapat penyebaran maklumat palsu dan penyalahgunaan gambar milik saya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan tujuan untuk mengelirukan pengguna Facebook.
“Laporan akan dibuat kepada pihak berkuasa serta kepada pihak Facebook untuk tindakan lanjut.
“Saya nasihatkan agar semua pihak berhati-hati, tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih, dan melaporkan sebarang kandungan yang mencurigakan,“ jelasnya menerusi hantaran tersebut. – MalaysiaGazette