KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) malam ini menghargai jasa dan sumbangan media membantu mempromosikan institusi pengajian tinggi itu kepada masyarakat.
Menerusi Majlis Promosi Media 2025, Naib Canselor UPM, Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah mengucapkan jutaan terima kasih kepada para petugas agensi media yang telah menyebarluaskan berita dan kepakaran golongan profesional di universiti itu kepada khalayak.
Dalam ucapannya, Ahmad Farhan berkata, majlis itu juga dapat memperkukuhkan hubungan strategik antara UPM dan pihak media sekali gus sebagai tanda penghargaan atas sokongan berterusan dalam mengetengahkan pencapaian dan inisiatif universiti.

“Pentingnya peranan media dalam membantu UPM menyampaikan agenda ilmu, pertanian dan kelestarian kepada masyarakat.
“Media bukan sekadar saluran maklumat tetapi rakan strategik dalam memperluaskan capaian dan impak universiti kepada negara dan dunia,” katanya.
Penghargaan diberikan kepada pihak media yang menyumbang secara signifikan dalam liputan berita berkaitan UPM sepanjang tahun lalu melalui 11 kategori anugerah.
Portal MalaysiaGazette turut menerima penghargaan pada majlis berkenaan.
Selain itu, seramai 19 ahli akademik dan seorang pegawai bukan akademik UPM menerima Anugerah Visibiliti Media UPM 2024.
UPM turut menghargai dua kakitangan bukan akademik, Chai Sen Tyng dan Siti Fatimah Abdul Ghani yang banyak menyumbang dalam kepakaran kepada masyarakat melalui media.
Majlis anjuran Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK) UPM itu sebagai sebahagian daripada usaha membina naratif yang positif dan konsisten tentang peranan UPM dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan dan pemindahan ilmu kepada masyarakat. – MalaysiaGazette