BATU PAHAT – Ibu tunggal antara empat orang suruhan along yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas tuduhan melakukan khianat dengan menyimbah cat dan menampal notis di empat rumah di Johor Bahru dan Kluang, bulan lalu.
Kesemua mereka iaitu Nurul Farah Syafiqah Abd Aziz, 28, bersama-sama Syed Najib Syed Mohamad, 33, Cheong Wee Chen, 35, dan Mohd Redzwan Mohd Hata, 30, menghadapi tiga hingga enam pertuduhan.
Paling banyak, Syed Najib yang juga duda berhadapan enam pertuduhan diikuti Mohd Redzwan (lima pertuduhan), Farah Syafiqah (empat pertuduhan), manakala Wee Chen (tiga pertuduhan).
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, mereka didakwa bersama-sama melakukan khianat dengan menyimbah cat merah ke rumah dua wanita, masing-masing berusia 28 dan 32 tahun.
Perbuatan itu dilakukan di Taman Universiti di Skudai serta Taman Maju Jaya dan Taman Desa Jaya di Johor Bahru, antara pukul 11.32 malam hingga 9 pagi, 1 hingga 9 April lalu.
Bagi pertuduhan keempat, mereka didakwa melakukan perkara sama ke atas sebuah rumah di Jalan 9/10 Perjiranan Pasir Gudang, pukul 3 pagi, 9 April.
Semua didakwa mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kelima dan keenam, mereka didakwa dengan khianat menyimbah cat merah serta menampal notis ke atas rumah dua wanita, masing-masing berusia 29 dan 44 tahun di Kluang.
Perbuatan itu dilakukan di Jalan Rumah Panjang di Sri Lalang dan Taman Kluang Barat, antara pukul 4.30 pagi hingga 2.41 petang, 5 April lalu.
Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, kelima dan keenam, mereka didakwa mengikut 427 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan keempat pula, didakwa mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Keempat-empat tertuduh yang dihadapkan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Mohamad Khalid Ab Karim, mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan.
Kesemua mereka kemudian dibenar ikat jamin antara RM3,000 hingga RM4,000.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 29 Mei dan 5 Jun ini untuk fakta dan hukuman. – MalaysiaGazette