KUALA LUMPUR – Cuckoo International (Malaysia) Bhd menetapkan 5 petang, 22 Mei ini sebagai tarikh tutup untuk pelabur menarik balik permohonan tawaran awam awal (IPO) masing-masing, susulan penjadualan semula bagi langkah penyenaraian itu.
Dalam kenyataan hari ini, pencipta kediaman sihat itu menjelaskan penarikan balik itu dibuka kepada pelabur yang telah mengemukakan permohonan sebelum pengumuman penjadualan semula IPO dan kini ingin menarik balik permohonan IPO mereka.
Pelabur boleh menarik balik permohonan mereka melalui Malaysian Issuing House (Rumah Terbitan), cawangan bank atau platform dalam talian yang menjadi tempat permohonan mereka sebelum ini, tambahnya.
“Pembayaran balik akan diproses sama ada pada hari yang sama atau dalam tempoh lapan hari pasaran dari tarikh penerimaan Borang Permohonan Penarikan Balik yang lengkap dan sah oleh Rumah Terbitan, bergantung kepada kaedah permohonan yang digunakan,” menurutnya.
Cuckoo memaklumkan pemohon yang memilih untuk menarik balik perlu melengkapkan dan mengemukakan Borang Permohonan Penarikan Balik yang boleh didapati daripada Rumah Terbitan atau yang dilampirkan bersama dengan prospektus tambahan.
Pelabur boleh menghantar borang itu sama ada menerusi laman web Rumah Terbitan (www.mih.com.my), e-mel ([email protected]) atau pos kepada Malaysian Issuing House Sdn Bhd, atau melalui penghantaran tangan dan dimasukkan ke dalam kotak penerimaan yang disediakan di lobi Menara Symphony.
“Pelabur yang memilih untuk menarik balik permohonan masih dibenarkan untuk memohon semula dalam tempoh langganan, tertakluk kepada terma dan syarat yang dinyatakan dalam prospektus tambahan.
“Permohonan IPO masih dibuka dan akan ditutup pada 5 Jun, 2025, dengan penyenaraian rasmi di Pasaran Utama Bursa Malaysia dijadualkan pada 24 Jun, 2025.
Cuckoo Malaysia juga mengumumkan penerbitan prospektus tambahan yang menjelaskan beberapa pindaan kepada Prospektus Utama dan butiran proses penarikan balik.
Penjadualan semula IPO itu adalah keputusan diambil dengan penuh teliti hasil penilaian menyeluruh oleh pengurusan CUCKOO Malaysia, dalam usaha memastikan kejayaan dan kemampanan penyertaannya dalam pasaran awam, jelasnya.
Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif, Hoe Kian Choon menyuarakan keyakinan terhadap hala tuju syarikat.
Beliau berkata ini khususnya selepas mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) terkumpul RM128.9 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024, iaitu peningkatan sebanyak 47.7 peratus berbanding RM87.3 juta yang direkodkan pada tahun kewangan 2023.
“Kami komited untuk mengekalkan momentum ini merangkumi semua segmen perniagaan melalui penambahan unit simpanan stok (SKU) produk dan penawaran servis penjagaan kediaman, serta mengukuhkan saluran pengedaran kami di seluruh Malaysia dan Singapura,” katanya dalam kenyataan yang sama.
Penyenaraian Cuckoo, yang asalnya dijadualkan pada 30 April, 2025, tertangguh selama dua bulan berikutan ketidaktentuan pasaran global semasa.
— BERNAMA