Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan meninjau keadaan pokok durian Musang King yang ditebang akibat pencerobohan tanah di Raub, Pahang. Foto MOHD ADZLAN, 08 MEI 2025.

RAUB – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan rakyat agar tidak terpedaya dengan dakyah pihak tertentu yang kononnya memperjuangkan tindakan pencerobohan tanah di negeri itu.

Baginda bertitah, semua rakyat tertakluk dan perlu mematuhi kepada undang-undang khususnya berkaitan tanah kerajaan yang diusahakan bagi tujuan pertanian termasuk penanaman durian.

“Jangan terkeliru, jangan terbeli dengan dakyah-dakyah ini kerana kita mesti mengikut peraturan. Yang mana berlalu itu, saya tak ungkit, saya ada cakap dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.

“Kita nak pergi ke hala hadapan, kita nak ada sistem supaya kita boleh urus tadbir tanah ini dengan sebaik mungkin bukan seperti mana yang berlaku sekarang,” titah baginda ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Terdahulu Al-Sultan Abdullah bersama Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan mencemar duli berangkat ke sebuah kebun Musang King yang menimbulkan kontroversi akibat pencerobohan tanah di sini tengah hari tadi.

Pada 14 April lalu, media melaporkan pekebun didakwa menghalang laluan sambil membawa kain rentang  menunjukkan ketidakpuasan hati kerana penguat kuasa memusnahkan tanaman berusia puluhan tahun.

Himpunan anjuran sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut dihadiri Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui yang membela pekebun durian Musang King yang didakwa menceroboh tanah kerajaan negeri.

Baginda bertitah, tindakan pencerobohan berpuluh tahun itu merupakan satu ketidakadilan kepada rakyat Pahang yang berhak memohon tanah kerajaan bagi tujuan pertanian.

“Tidak adil bagi rakyat, tidak adil bagi kerajaan dan sebagainya, nak perkara ini diperincikan, tapi tak boleh, dia terlalu terperinci, cukai tanah tak bayar, cukai pendapatan tak bayar dan sebagainya.

“Ini menidakkan permohonan-permohonan (pihak) lain dalam kawasan daerah ini (Raub),” titah baginda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here