KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini mengumumkan penubuhan Majlis Penasihat Aset Digital dan Kecerdasan Buatan (AI), satu entiti strategik yang bakal menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi digital negara.
Penubuhan majlis itu sejajar dengan perkembangan pesat teknologi aset digital dan AI yang kini menjadi antara pemangkin utama pertumbuhan ekonomi global serta penentu daya saing sesebuah negara.
Menurut Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, majlis tersebut akan berperanan memberi nasihat dan panduan strategik bagi memastikan Malaysia mampu menguasai teknologi berimpak tinggi ini serta bersaing di barisan hadapan dalam landskap ekonomi digital dunia.
“Majlis ini akan dianggotai oleh pakar dalam dan luar negara, pemain industri, ahli akademik serta tokoh pemikir dasar – bagi memastikan pendekatan kita bukan sahaja sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa, tetapi juga sesuai dengan konteks Malaysia,” katanya.
Tunku Nashrul berkata demikan dalam sidang media sempen Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri hari ini.
Dengan keanggotaan pelbagai latar belakang, pendekatan yang dibentuk dijangka selari dengan amalan terbaik antarabangsa namun tetap disesuaikan mengikut konteks dan keperluan Malaysia.
Bercakap mengenai kepengerusian ASEAN 2025, Tunku Nashrul berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meninjau persiapan akhir bagi Sidang Kemuncak ASEAN 2025 yang bakal berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan tema “Inklusiviti dan Kelestarian.”
Beliau berkata, Anwar menegaskan pentingnya penyelarasan rapi antara kementerian dan agensi terlibat terutama dalam aspek logistik, keselamatan, protokol dan pengurusan trafik bagi memastikan kelancaran acara bertaraf antarabangsa itu.
“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia bertekad memastikan hasil sidang mencerminkan tindakan konkrit demi kepentingan rakyat dan negara anggota,” jelas Tunku Nashrul.
Bagi menyokong kelancaran persidangan, Kementerian Pendidikan akan melaksanakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di kawasan terlibat manakala sektor swasta turut digalakkan melaksanakan kerja dari rumah bagi mengurangkan tekanan terhadap kemudahan awam dan infrastruktur bandar.
Dalam pada itu, Tunku Nashrul berkata, Anwar turut telah berbincang melalui telefon dengan Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra berhubung tindakan ASEAN terhadap isu serantau termasuk krisis kemanusiaan di Myanmar dan cabaran ekonomi akibat tarif perdagangan Amerika Syarikat.
Jelas beliau, kedua-dua pemimpin turut membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala susulan lawatan kerja terdahulu, dan menyatakan komitmen untuk menjayakan Sidang Kemuncak ASEAN akan datang. – MalaysiaGazette