Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bercakap pada sidang media berkenaan Majlis Pembukaan Seksyen 2 (Persimpangan Bertingkat SKVE ke Persimpangan Bertingkat SAE) di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) Shah Alam, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 21 JANUARI 2025.

PUTRAJAYA –  Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkan beliau dengan skandal rasuah bernilai RM1.3 bilion melibatkan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kapit itu menegaskan, tuduhan yang tersebar menerusi sebuah saluran Telegram baru-baru ini adalah tohmahan serta fitnah yang tidak berasas.

Tambahnya, tuduhan tersebut bertujuan mencemarkan reputasi beliau sebagai anggota pentadbiran dan juga nama baik Kementerian Kerja Raya (KKR) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia.

“Saya ingin menjelaskan sejelas-jelasnya, itu memang tohmahan, fitnah.

“Saya menafikan secara keras, tak ada (terlibat dengan rasuah) seperti mana yang dituduh di sana,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Simposium Cerun Negara 2025 (SCN 2025) di sini, hari ini.

Menurutnya, satu laporan polis telah pun dibuat di Balai Polis Tun HS Lee, Kuala Lumpur, kelmarin sebagai langkah menafikan tuduhan itu secara rasmi.

Tindakan tersebut bukan sahaja untuk mempertahankan dirinya secara peribadi, malah bagi menunjukkan keseriusannya dalam memastikan integriti kementerian sentiasa terpelihara.

Alexander juga menegaskan bahawa beliau bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya siasatan dijalankan.

“Saya terbuka. Kalau SPRM datang, saya akan bekerjasama,” ujarnya.

Beliau turut menyifatkan tuduhan yang menyebut namanya secara jelas sebagai satu serangan peribadi.

Ditanya mengenai dakwaan terhadap sebuah syarikat yang didakwa tidak berkelayakan untuk melaksanakan projek Pan Borneo, Alexander menjelaskan bahawa syarikat terbabit baharu sahaja menerima surat tawaran dan masih di peringkat awal pelaksanaan.

“Penilaian terhadap keupayaan syarikat itu hanya boleh dibuat apabila kerja di lapangan benar-benar berjalan.

“Syarikat itu baru mula kerja. Sama seperti pakej-pakej lain, semuanya masih di fasa permulaan. Sama ada mereka mampu atau tidak, kita belum boleh nilai pada peringkat ini,” tambahnya.

Meskipun berpegang kepada hak untuk mengambil tindakan undang-undang, Alexander menyatakan bahawa beliau lebih mengutamakan penyelesaian secara baik dan berharap pihak yang menyebarkan tuduhan tersebut tampil memohon maaf secara terbuka.

Dalam masa sama, beliau menegaskan keperluan untuk menangani perkara ini secara tegas agar tidak menjadi budaya yang boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan projek-projek pembangunan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here