MELAKA – Seorang murid lelaki terpaksa menahan kesakitan kira-kira 40 minit selepas kaki kirinya tersepit pada celah jeriji besi penutup longkang di sebuah sekolah rendah di Jasin, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu kaki murid berusia 11 tahun tersebut dipercayai termasuk pada celah jeriji besi selepas tergelincir ketika waktu rehat.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin, Pegawai Bomba Kanan II, Azizul Ali berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.19 pagi.
“Seramai enam anggota dikejar ke lokasi sebelum tiba seminit kemudian dan mendapati kaki kiri murid lelaki berusia 11 tahun itu tersepit pada celah jeriji besi penutup longkang.
“Operasi mengeluarkan kaki mangsa dilakukan dengan memotong besi menggunakan peralatan khas dan operasi tamat pada jam 12.03 tengah hari,” katanya.
Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak sekolah setelah memastikan keadaan selamat di lokasi. – MalaysiaGazette