Anggota Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) meninjau ke kebun durian Musang King yang menimbulkan kontroversi akibat pencerobohan tanah ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Raub, Pahang. Foto MOHD ADZLAN, 08 MEI 2025.

RAUB – Pihak Berkuasa Negeri Pahang (PBN) memberi peluang kepada pekebun durian haram untuk menyertai skim pemutihan dalam tempoh dua bulan akan datang.

Ketua Unit Penguatkuasaan PBN, Saifullah Muhammad Ali berkata, proses pemutihan itu akan dilakukan sejurus selepas selesainya proses pemusnahan 500 ekar durian haram terlibat sebelum ini.

“Sekiranya selepas dua hingga tiga bulan masih tiada hasil positif, PBN akan memusnahkan tambahan 500 ekar dalam kawasan tanah kerajaan dan hutan simpan kekal,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Saifullah, data terkini kemas kini mendapati seluas 11,296 dari 26,000 ekar kawasan durian haram telah diluluskan manakala yang masih haram dan tiada kelulusan berjumlah 12,000 ekar.

“Sekatan dan kawalan dalam kawasan durian haram yang masih tiada keputusan bertujuan memberi tekanan kepada pekebun haram untuk menyertai skim pemutihan yang ditawarkan PBN.

“Bagi kawasan sudah mendapat kelulusan  mereka perlulah melantik pengawal keselamatan persendirian bagi tujuan kawalan.

“Semua agensi penguat kuasa akan mengambil tindakan bagi kawasan luar kelulusan kepada dua syarikat tersebut,” katanya.

Selain itu kebanyakan pekebun haram tidak berada dalam kawasan kebun sebaliknya hanya pekerja warga asing sahaja bersembunyi dalam kawasan tanah kerajaan dan hutan simpan menggunakan pondok pertanian sedia ada.

“PBN bercadang untuk memusnahkan semua pondok pertanian dan sitaan semua peralatan pertanian dalam kawasan tanah kerajaan dan hutan simpan yang masih tiada keputusan,” katanya.

Sementara itu, katanya, hampir semua pekebun haram tidak membayar cukai kerana tiada pemilikan tanah yang sah sejak sekian lama mereka memakan hasil durian haram sehingga menjadi jutawan.

“PBN akan bekerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk menjalankan siasatan terperinci terhadap semua pekebun durian haram yang sudah dikenal pasti.

“Kami mensasarkan pekebun haram yang masih tidak menyertai skim pemutihan, sekali gus memberi tekanan kepada mereka berbuat demikian dengan segera,” katanya.

Katanya lagi, memandangkan kawasan durian haram Raub meliputi 26,000 ekar dan menyukarkan rondaan fizikal secara menyeluruh, PBN bercadang menggunakan perkhidmatan imej satelit real-time dengan langganan seperti planet.com.

“Pada masa ini, pemantauan imej satelit hanya menggunakan sistem yang dibangunkan oleh Agensi Angkasa Malaysia iaitu sistem e-unified.

“Sistem ini bagus dan banyak membantu dalam tindakan penguatkuasaan, tetapi imej satelit yang dibekalkan terdapat lag dan bukan bersifat real-time, ini menyukarkan sedikit tindakan penguatkuasaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here