Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

PUTRAJAYA –  Kerajaan kini membenarkan pekerja  asing membuat permohonan pertukaran majikan merentasi sektor penggajian.

Jelas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, perubahan tersebut akan memberi manfaat bukan sahaja kepada kerajaan malah kepada majikan dan pekerja asing.

“Tambahan pula, ia merupakan amalan baik yang disarankan oleh organisasi-organisasi antarabangsa berkaitan buruh dan telah diguna pakai oleh negara-negara maju yang lain,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu Saifuddin berkata, keputusan tersebut disepakati oleh Kementerian Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia dalam Mesyuarat Jawatankuasa Mengenai Pengurusan Pekerja Asing, Kali Ke-13  Tahun 2025 yang dipengerusikan Saifuddin pada petang ini.

Mesyuarat itu berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama  lebih kurang dua jam.

Menurut Saifuddin, sebelum ini, kerajaan hanya membenarkan pertukaran majikan dalam sektor penggajian yang sama dengan syarat adanya sama ada penstrukturan syarikat, penutupan syarikat, pembesaran syarikat atau atas kelulusan suatu jawatankuasa yang dikendali oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Selain itu, katanya, mesyuarat turut menerima syor Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengenai pengurusan memo Periksa Keluar (Check Out Memo – COM) pekerja asing diperkasa.

Ia mewajibkan untuk majikan hadir di pintu keluar antarabangsa bagi mengurus daftar keluar pekerja asing seperti mana majikan mengurus kemasukan pekerja asing.

“Kekhilafan atau kegagalan majikan boleh dikenakan sekatan permohonan kuota baharu dan sekatan urusan keimigresenan lain,” tambah KDN.

Sehubungan itu, Saifuddin meminta semua pihak cakna dengan ketetapan kerajaan dan mematuhi peraturan yang digariskan tanpa gagal.

“Dalam hal ini, kerajaan akan bertindak tegas terhadap sebarang pelanggaran peraturan dan undang-undang berkuat kuasa,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here