Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan meninjau keadaan pokok durian Musang King yang ditebang akibat pencerobohan tanah di Raub, Pahang. Foto MOHD ADZLAN, 08 MEI 2025.

RAUB – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengakui, isu pencerobohan tanah di negeri ini tidak boleh diselesaikan serentak dalam satu masa.

Baginda bertitah, sebaliknya penerokaan tanah secara haram itu perlu ditangani secara peringkat-peringkat.

“Kita boleh berusaha menoktahkan perkara ini, ia perlu dilakukan peringkat-peringkat, tak boleh mengejut atau sekali gus, itu mungkin susah sikitlah.

“Sekurang-kurangnya ada haluan di situ, ada hala tuju, kalau tidak pencerobohan ini akan berterusan, kita tak boleh benarkan dan pencerobohan mesti dihentikan,” titah baginda kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu baginda bersama Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan mencemar duli berangkat ke sebuah kebun Musang King yang menimbulkan kontroversi akibat pencerobohan tanah di sini, tengah hari tadi.

Al-Sultan Abdullah turut bertitah, episod pencerobohan tanah di Pahang sejak puluhan tahun lalu boleh diatasi jika semua pihak bekerjasama menoktahkan isu tersebut secara terbaik,

“Angka yang dikeluarkan 26,000 ekar di daerah Raub sahaja durian haram dan ini adalah satu angka yang agak besar.

“Namun tindakan seterusnya harus dibuat dan saya harap semua pihak harus bekerjasama, kita tidak boleh membiarkan aktiviti haram ini diteruskan, kena noktah dan selesaikan secara terbaik.

“Kalau ini dibiarkan, seolah-olah tiada pihak penguat kuasa, tiada pejabat hutan, tiada pejabat tanah dan daerah, tiada pejabat Menteri Besar dan seterusnya,” titah baginda.

Baginda bertitah lagi, sekiranya mana-mana pihak yang berhasrat untuk mengusahakan kebun durian di atas tanah kerajaan, mereka boleh mengemukakan permohonan mengikut undang-undang.

“Mana-mana pihak yang buat permohonan, sila buat permohonan secara rasmi dengan proses-proses yang ditentukan

“Saya ingin mengingatkan, kita ada undang-undang di negeri dan negara ini.

“Kalau tidak tindakan-tindakan sewajarnya akan diambil dan mungkin hukuman lebih berat boleh menimpa kepada peneroka haram,” titahnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here