RAUB – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita kerana tanah tinggi Cameron Highlands kini hampir hilang kawasan hutannya.
Baginda bertitah, sebaliknya kawasan tanah tinggi itu kini dipenuhi dengan ‘hutan plastik’ berbanding dahulu kaya dengan pelbagai jenis tumbuhan semulajadi.
“Saya selalu ke sana, saya berasa sedih kerana kalau lalu atas Lembah Bertam, kita tengok sudah macam bukan hutan lagi, sudah jadi hutan plastik.
“Hutan plastik sudah berada di Lembah Bertam ini, nasi sudah menjadi bubur, mungkin satu kaedah baharu kita boleh kaji dan diperkenalkan kerajaan negeri,” titah baginda ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Terdahulu Al-Sultan Abdullah bersama Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan mencemar duli berangkat ke sebuah kebun Musang King yang menimbulkan kontroversi akibat pencerobohan tanah di sini tengah hari tadi. – MalaysiaGazette