JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mempertahankan pencalonan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Tegasnya, keputusan tersebut tidak menyebabkan nepotisme dalam parti.
Ini kerana menurut beliau, pencalonan tersebut bukan diminta Datuk Seri Anwar Ibrahim selalu Presiden PKR atau isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga bekas Presiden PKR atau daripada Nurul Izzah sendiri sebagai Naib Presiden PKR.
Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor berkata, sebaliknya pencalonan itu datang dari akar umbi dan Anwar sendiri akan malu sekiranya berbuat demikian.
“Apa hak kita untuk nafikan hak Nurul Izzah bertanding? Kenapa nak nafikan hak dia hanya kerana Nurul Izzah anak Anwar? Tidak timbul isu nepotisme.
“Saya menentang nepotisme dalam parti atau kerajaan. Jawatan itu adalah jawatan yang penting. Anwar kata ini penggal terakhir dia, soalnya jika dia tidak pegang jawatan Presiden, siapa yang akan ambil alih?
“Ini bukan nepotisme, Nurul Izzah mempunyai meritnya untuk bertanding sebagai Timbalan Presiden PKR,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyerahkan rumah pam air di Kampung Belantik di sini hari ini.

Sejak kelmarin, pimpinan PKR peringkat cabang, negeri serta pusat menyatakan sokongan supaya Nurul Izzah mencalonkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden.
Nurul Izzah melalui kenyataan semalam menegaskan akan membuat keputusan terbaik dalam mempertimbangkan cadangan akar umbi dan pimpinan parti itu, dengan mengambil kira soal penyatuan dan persepakatan dalaman parti.
Datuk Seri Rafizi Ramli pula semalam mengesahkan akan terus mempertahan jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti itu hujung bulan ini.
Seorang lagi calon iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut menunjukkan minat untuk bertanding jawatan tersebut.
Mengulas lanjut, Hassan berkata, semua pihak perlu hormati hak Nurul Izzah itu kerana atas kemahuan hampir sejuta ahli PKR daripada 222 cabang di seluruh negara.
Pencalonan Nurul Izzah juga katanya, dibuat pada saat akhir dan Anwar sendiri tiada halangan untuk Rafizi atau Saifuddin untuk bertanding merebut jawatan berkenaan.
“Biar dua atau tiga penjuru, biar sengit dan kalau kalah pun puas hati,” ujar veteran PKR tersebut.- MalaysiaGazette