Siti Zabedah Kasim.

KUALA LUMPUR – Peguam dan aktivis hak asasi manusia, Siti Zabedah Kasim, mendakwa wujud unsur tekanan dan campur tangan tidak wajar oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes kehilangan ahli perniagaan, Pamela Ling, yang dilaporkan hilang sejak 9 April lalu.

Dalam satu video yang dimuat naik Siti Zabedah kelmarin, beliau mendedahkan bahawa Pamela telah beberapa kali hadir ke ibu pejabat SPRM untuk memberikan keterangan berhubung siasatan berkaitan aktiviti pengubahan wang haram sebelum kehilangannya.

Siti turut memetik maklumat yang diperoleh daripada sumber peguam Pamela bahawa wujud interaksi mencurigakan semasa sesi soal siasat.

“Ada individu yang memperkenalkan diri sebagai Timbalan Pengarah SPRM, masuk ke bilik siasatan dan menasihatkan Pamela supaya menyelesaikan isu perceraian dengan suaminya.

“Lebih mengejutkan, dia dikatakan memberitahu bahawa jika Pamela bersetuju menyelesaikan perceraian itu, siasatan akan dihentikan,” dakwanya dalam video itu.

Beliau turut mempersoalkan kewajaran tindakan SPRM yang dikatakan meletakkan Pamela dalam satu bilik bersama suaminya semasa sesi siasatan, di mana pegawai SPRM dilapor menggesa mereka untuk ‘selesaikan perceraian waktu itu juga’.

“Ini bukan soal memburukkan mana-mana institusi.

“Tapi kita kena berani bersuara bila ada sesuatu yang tak betul. Kalau ada pegawai yang menyalahguna kuasa, kita mesti tegur. Ini soal integriti,” tambahnya.

Mengulas mengenai kenyataan Ketua Polis Negara yang sebelum ini menyifatkan liputan berhubung kehilangan Pamela sebagai cubaan mencemarkan imej polis dan SPRM, Siti Zabedah menegaskan, rakyat berhak bertanya dan menuntut penjelasan.

“Kalau kita tidak bersuara, itu bermakna kita bersetuju dengan semua yang berlaku.

“Kita sebagai rakyat mesti jadi check and balance. Bukan sebab kita benci, tetapi sebab kita sayang negara ini,” ujarnya.

Siti Zabedah dimaklumkan pihak polis kini menyiasat suami Pamela sebagai salah seorang suspek dalam kes kehilangan tersebut, dan berharap siasatan dijalankan secara telus.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai untuk lebih berani menyuarakan ketidakadilan.

“Saya jemput semua, seperti MMA (Persatuan Perubatan Malaysia) yang baru sahaja menghantar memorandum ke Putrajaya, supaya berdiri dan bersuara. Ini hak kita sebagai rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here