P. Ramasamy. Foto AFFAN FAUZI, 21 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Tsunami sokongan terhadap Nurul Izzah Anwar untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR didakwa merupakan petunjuk terdapat pelan besar untuk mengangkat Puteri Reformasi itu bagi mengantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Urimai P. Ramasamy menyifatkan sokongan padu yang diberikan kepada Nurul Izzah oleh kepimpinan negeri sebagai tidak ‘organik’.

“Nurul, yang kini merupakan salah seorang Naib Presiden PKR, kebelakangan ini menerima lonjakan sokongan secara tiba-tiba daripada beberapa kepimpinan negeri untuk bertanding jawatan nombor dua dalam parti.

“Perkembangan ini langsung tidak kelihatan organik. Gerak langkah politik yang terlalu tersusun dan terancang ini menunjukkan adanya satu pelan besar—usaha untuk mengangkat beliau sebagai pengganti Anwar.

“Sehingga kini, Anwar belum mengeluarkan sebarang kenyataan. Namun, beliau tidak perlu berbuat demikian. Para penyokong setianya sedang bekerja di belakang tabir untuk merintis jalan kemenangan buat Nurul,” katanya dalam kenyataan.

Ramasamy mendakwa, dengan sokongan tidak langsung daripada Anwar laluan Nurul Izzah menuju ke puncak tampak semakin licin kecuali penyandang kerusi Datuk Seri Rafizi Ramli mampu mengatur tentangan yang benar-benar kuat.

Tambah beliau, terdapat petanda bahawa Rafizi yang suatu ketika dahulu dianggap sebagai pejuang antirasuah dan pencetus dasar yang berani mungkin akan disisihkan daripada arus utama politik.

“Kehadirannya sebagai Timbalan Presiden tidak lagi seiring dengan cita-cita dinasti yang kini sedang mengambil bentuk dalam PKR.

“Implikasinya jauh melangkaui pergolakan dalaman parti. PKR, sebuah parti yang lahir daripada semangat Reformasi, kini seolah-olah telah meninggalkan prinsipnya sebelum sempat melengkapkan kitaran reformasi yang diperjuangkan dahulu.

“Yang tinggal hanyalah bayang-bayang parti dahulu—yang kini didorong bukan oleh idealisme, tetapi oleh agenda kekeluargaan,” kata Ramasamy.

Nurul Izzah dalam kenyataan semalam masih berteka teki sama ada akan menyahut sokongan yang diberikan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Menurut bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh berkenaan, beliau akan memberi keputusan terbaik mengimbangkan antara kesepakatan, jalinan dengan persahabatan dan perubahan serta reformasi bermakna buat semua anggota.

Manakala Rafizi pula dalam kenyataan terkini semalam secara jelas akan mempertahankan jawatan yang disandangnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here