Dominic Lau Hoe Chai.

KUALA LUMPUR – Keselamatan saksi dan pemberi maklumat perlu menjadi keutamaan dalam setiap siasatan dan pihak penguat kuasa tidak boleh lepas tangan terhadap ancaman yang berlaku kepada mereka.

Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai menyelar kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berhubung kes kehilangan Pamela Ling Yueh, yang didakwa diculik ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat SPRM.

Dominic menyifatkan kenyataan itu sebagai cubaan untuk melepaskan tanggungjawab.

“Jika SPRM masih bersikap sambil lewa sebegini, bagaimana mungkin siasatan boleh dijalankan dengan berkesan?” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau mengingatkan rakyat mengenai insiden melibatkan mendiang Teoh Beng Hock, saksi penting SPRM yang meninggal dunia dalam keadaan mencurigakan ketika berada di bangunan agensi tersebut.

“Siasatan kes itu masih berjalan sehingga ke hari ini tetapi kebenaran masih belum terjawab. Sekarang pula, Lim Yun sudah hilang hampir sebulan tanpa sebarang jejak.

“SPRM mesti memikul tanggungjawab sepenuhnya,” ujar beliau.

Menurut Dominic, undang-undang sedia ada perlu dipinda sekiranya gagal memberi perlindungan secukupnya kepada saksi atau pemberi maklumat yang terlibat dalam kes berprofil tinggi.

“Saya percaya SPRM dan pihak polis merupakan agensi penguatkuasaan yang profesional dan berkemampuan untuk mengenalpasti kes-kes sensitif.

“Namun, jika mekanisme perlindungan sedia ada gagal, kerajaan mesti mengambil tindakan segera menambah baik sistem perlindungan,” katanya.

Beliau turut mengkritik tindakan Azam yang mendedahkan identiti keluarga pemberi maklumat pada sidang media berkaitan skandal rasuah di Sabah, menyifatkan tindakan itu sebagai tidak wajar dan membahayakan keselamatan mereka.

“Jika identiti pemberi maklumat boleh didedahkan sewenang-wenangnya, apatah lagi mereka hanyalah rakyat biasa yang tidak mempunyai kuasa atau pengaruh,” katanya.

Mengakhiri kenyataan, Dominic memetik ungkapan terkenal dalam bidang kehakiman: ‘Keadilan mesti ditegakkan tanpa sebarang keraguan, dan kredibiliti SPRM sebagai agensi yang bebas serta adil perlu terus dipertahankan’. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here