Operasi perobohan struktur yang dibina tanpa kebenaran atas tapak Masjid Dengkil

KUALA LUMPUR – Rumah ibadat peribadi, ladang dan sturktur yang dibina tanpa kebenaran di atas di tapak Masjid Dengkil di Selangor telah dibersihkan.

Pejabat Daerah Tanah Sepang dalam perkongsian di media sosial berkata, Operasi Tindakan Penguatkuasaan dilakukan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828).

“Ucapan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada semua Jabatan, Agensi Daerah Sepang serta pegawai, kakitangan PDT Sepang yang terlibat di atas kerjasama dan komitmen tinggi semua pihak bagi merealisasikan pelaksanaan Operasi Tindakan Penguatkuasaan,” katanya dalam kenyataan.

Dalam perkongsian itu, agensi yang terlibat termasuk Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor, Majlis Perbandaran Sepang dan Ibu Pejabat Polis Sepang.

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 11 April lalu berkata, pihaknya dan Pejabat Daerah Tanah (PDT) Sepang akan membersihkan pencerobohan di tapak pembinaan Masjid Dengkil dalam tempoh satu bulan.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahizan Ahmad berkata, tindakan itu selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa tanah di bawah kawalan JAIS perlu bersih daripada sebarang pencerobohan.

“JAIS akan terus memastikan bahawa tiada sebarang bentuk pencerobohan terhadap mana-mana tanah di bawah kawalannya dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya jika berlaku,” katanya dalam satu kenyataan sebelum ini.

Sebelum ini, isu pencerobohan tanah di masjid itu menjadi tular selepas terdapat pihak didakwa membina kuil peribadi di atas kawasan yang diduduki.

Mengulas lanjut, menurut Mohd Shahizan, pihak yang berada di tanah JAIS merupakan individu dipindahkan dari Ladang Galloway berikutan pengambilan tanah oleh kerajaan bagi projek pembangunan Cyberjaya.

Beliau berkata, PDT Sepang telah memberi penempatan baharu bagi aktiviti individu tersebut berpindah ke tanah rizab Sungai Langat dan mendapat status menduduki sementara (TOL).

Pada 2007, kerajaan negeri mengarahkan pengosongan tanah oleh individu berkenaan bagi tujuan rizab masjid dan berlaku tuntutan pampasan oleh individu atas arahan pengosongan tapak.

Pada 2011, kerajaan negeri mewartakan tanah dengan keluasan 10 ekar bagi tujuan pembinaan masjid dan sebahagian dari tanah tersebut adalah tanah rizab Sungai Langat yang diusahakan oleh pihak terbabit tanpa mengeluarkan individu yang menduduki tanah.

“Sejak awal pewartaan dibuat terhadap tanah bagi tujuan pembinaan masjid, JAIS menganggap tanah tersebut kosong daripada sebarang aktiviti dan pembinaan bangunan atau premis,” ujarnya.

Bagaimanapun, Mohd Shahizan berkata, pada 2024, JAIS mengesan wujud aktiviti dan pembinaan premis di atas tanah bagi pembinaan sebuah masjid yang akan dimulakan pada 2026.

Sehubungan itu, menurutnya, JAIS mengeluarkan surat bertarikh 10 September 2024 untuk PDT Sepang mengambil tindakan mengikut undang-undang bagi pengosongan tanah.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here