Gambar hiasan Kuala Lumpur Fashion Week. Foto AFFAN FAUZI, 03 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Persatuan Pembangunan Perniagaan Fesyen Malaysia (PEFEM) bimbang menyuarakan kebimbangan terhadap keputusan Amerika Syarikat mengenakan tarif import baharu sehingga 24 peratus ke atas produk tekstil dan pakaian dari Malaysia.

Presidennya, Bkay Nair berkata langkah itu dijangka memberi tekanan hebat kepada industri fesyen tempatan yang ketika ini sudah pun bergelut dengan pelbagai cabaran termasuk peningkatan kos dan persaingan serantau.

Presiden Persatuan Pembangunan Perniagaan Fesyen Malaysia (PEFEM), Bkay Nair

“Tarif tersebut bakal memberi kesan besar kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang merupakan antara tulang belakang sektor fesyen di negara ini. 

“Walaupun industri ini telah lama menjadi penyumbang utama kepada eksport berasaskan kreativiti negara, tekanan daripada pelbagai arah kini mencetuskan ketidakseimbangan dalam keseluruhan ekosistem industri,” katanya.

Menurut beliau, industri fesyen tempatan kini berdepan situasi sukar melibatkan kos bahan mentah dan logistik yang semakin meningkat, persaingan kos buruh dari negara seperti Vietnam dan Bangladesh, peningkatan sisa tekstil akibat pertumbuhan fesyen pantas, serta kekurangan akses kepada teknologi dan latihan semula untuk menyesuaikan diri dengan kehendak pasaran global.

“Sehubungan itu, PEFEM menyeru agar kerajaan segera mengambil langkah strategik bagi memastikan industri fesyen Malaysia kekal kompetitif di peringkat antarabangsa. 

“Antara cadangan yang diketengahkan termasuk meneroka pasaran eksport alternatif di Asia Barat, Afrika dan Eropah Timur, menubuhkan dana khas bagi membantu PKS yang terkesan, serta meningkatkan pelaburan dalam inovasi, kelestarian dan digitalisasi pengeluaran,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau turut menggesa agar dialog perdagangan dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat dirintis bagi menyemak semula kadar tarif yang dikenakan ke atas Malaysia.

Bkay dalam kenyataannya turut menekankan kepentingan sokongan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta agensi berkaitan untuk mempercepatkan usaha rundingan dan membantu pengusaha tempatan meneroka pasaran baharu.

Katanya, kesinambungan industri fesyen bukan sekadar isu ekonomi, tetapi juga melibatkan warisan budaya, inovasi kreatif dan imej Malaysia di pentas global. 

“Sebagai badan yang mewakili pengusaha, pereka dan pemain industri tekstil serta fesyen, PEFEM komited untuk terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuh daya tahan industri ini dalam menghadapi cabaran global,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here