Antara dadah yang dirampas dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah menerusi tiga serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM16.01 juta.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Kuala Lumpur hasil risikan dan maklumat awam.

“Sindiket pertama dikesan beroperasi di Ampang, melibatkan dua lelaki termasuk seorang warga Filipina yang diberkas dalam serbuan pada 29 April lalu.

“Pemeriksaan terhadap kereta dinaiki suspek menemukan 56 bungkusan syabu seberat 58.42 kilogram (kg), sebelum siasatan lanjut membawa kepada sebuah lagi kereta yang menyimpan 146.76 kg syabu, menjadikan jumlah rampasan 205 kg bernilai RM6.56 juta,” katanya pada sidang media, hari ini.

Menurutnya, sindiket berkenaan dipercayai menerima bekalan dari Kelantan sebelum diedarkan di sekitar Lembah Klang, dan ia merupakan kali pertama kumpulan itu beroperasi di kawasan terbabit.

Kedua-dua suspek kini direman selama 10 hari bermula 30 April hingga 9 Mei ini.

Dalam serbuan kedua pada 5 Mei, seorang lelaki berusia 45 tahun ditahan bersama 1.86 gram syabu sebelum membawa polis ke sebuah lot kedai di pusat beli-belah di Jalan Imbi, di sini, yang dijadikan stor penyimpanan dadah.

“Hasil pemeriksaan menemukan 221 kg syabu dianggarkan bernilai RM7.07 juta. Sindiket ini dipercayai aktif sejak Februari lalu dan menggunakan kawasan tumpuan awam sebagai lokasi penyimpanan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Suspek yang mempunyai lima rekod jenayah lampau dan positif methamphetamine kini direman sehingga 11 Mei ini.

Sementara itu, dua lelaki tempatan berusia 23 dan 33 tahun ditahan dalam serbuan ketiga pada 6 Mei lalu di sebuah kondominium mewah di Taman Mastiara.

“Polis menemui pelbagai jenis dadah termasuk ketamin, pil dan serbuk ecstasy serta Erimin 5 seberat lebih 17 kg bernilai RM2.38 juta. Turut disita wang tunai RM320,250 dan dua kenderaan.

“Sindiket ini dipercayai menggunakan kondominium berkenaan sebagai lokasi memproses dan menyimpan dadah,” katanya.

Jelasnya, jumlah keseluruhan rampasan dalam ketiga-tiga kes ini mampu menampung penggunaan seramai 3.2 juta penagih pada satu-satu masa.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tambahnya, pihak polis sedang mengesan rangkaian sindiket serta aset yang dimiliki suspek di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here