KOTA TINGGI – Kementerian Pertahanan mengesahkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sudah memulakan siasatan dalaman susulan insiden pesawat pejuang Hawk tergelincir ketika mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), Alor Setar, Kedah kelmarin.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah berkenaan penting bagi memastikan semua pesawat Hawk kekal berada dalam keadaan selamat untuk operasi selepas ini.
“Insiden pesawat pejuang jenis Hawk yang tergelincir di Alor Setar tidak membabitkan sebarang kecederaan fizikal. TUDM telah dan akan memulakan siasatan untuk pastikan keselamatan kesemua pesawat pejuang Hawk berkenaan.
“Terpulang pada TUDM berapa lama tempoh siasatan akan mengambil masa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Projek Jana Veteran Boustead Plantations Berhad di Ladang Telok Sengat di sini hari ini.
Selasa lalu, TUDM dilaporkan mengesahkan sebuah pesawat pejuang jenis Hawk 208 miliknya tergelincir dari landasan selepas mengalami masalah pada gear pendaratan hadapan (nose landing gear) ketika melakukan pendaratan di LTSAH.
Dalam kenyataan rasminya, TUDM dilaporkan memaklumkan insiden berlaku kira-kira pukul 5 petang ketika pesawat berkenaan sedang menjalani latihan Opening Gambit sebagai persiapan acara pembukaan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25).
Bagaimanapun juruterbang pesawat dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.- MalaysiaGazette