PUTRAJAYA – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) disaran supaya merangka pembangunan belia desa bagi melahirkan belia yang celik digital, berpendidikan, berkemahiran dan mampu beradaptasi dalam apa jua keadaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Kemajuan Desa berkata, beliqu ingin melihat Hub Gig Desa, Duta Belia Desa dan Program Pertukaran Belia Desa ASEAN wujud suatu hari nanti, bagi membawa golongan belia menimba ilmu dan pengalaman di peringkat antarabangsa.
“Saya serahkan kepada pihak Kementerian untuk mencorak dan mewarnainya dengan melibatkan semua agensi dibawah KKDW melalui satu platform atau jawatankuasa – kerana yang penting matlamat kita jelas.
“Saya mahu Belia Desa Malaysia mampu meneroka dunia, melangkaui sempadan, dan bersaing gagah di pentas global,” katanya ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulan Mei KKDW, hari ini.
Sehubungan itu beliau berharap, peruntukan sebanyak RM500,000 daripada kerajaan yang telah diumum sebelum ini untuk Kursus Kecemerlangan Belia Luar Bandar akan dimanfaatkan.
Terdahulu, Zahid menyifatkan belia luar bandar sebagai aset strategik negara yang akan memacu masa depan negara.
Katanya, berdasarkan kajian lebih 70 peratus tenaga kerja negara akan terdiri daripada generasi muda.
Justeru itu tambahnya, golongan berkenaan perlu diperkasakan.
“Dalam dunia yang penuh ketidaktentuan perang perdagangan yang semakin rumit, perubahan iklim yang menggugat, revolusi teknologi yang begitu pantas kita tidak boleh membiarkan belia kita selesa di dalam kepompong perdesaan.
“Mereka perlu bergerak melangkaui batas. Tetapi untuk mencipta anjakan ini, mereka memerlukan bimbingan dan sokongan,” tambahnya.
Pada majlis yang sama, Zahid turut melancarkan ‘Program Tahfiz TVET @ Kolej KEDA 4.0’. -MalaysiaGazette