LONDON – Aksi Mason Mount mendapat pujian selepas mempamerkan persembahan cemerlang ketika kemenangan 4 – 1 Manchester United ke atas Athletic Bilbao dalam perlawanan separuh akhir kedua Liga Europa di Old Trafford, awal pagi tadi.
United menempah tiket ke final Liga Europa yang menyaksikan tuan rumah menang 7-1 secara agregat dan berpeluang merebut trofi musim ini.
United yang terdampar di tangga ke-15 Liga Perdana Inggeris (EPL) dan juara Liga Europa pada tahun 2017, akan berdepan Tottenham Hotspur pada final sesama pasukan EPL pada 21 Mei ini di Stadium San Mames, Bilbao.
Sementara itu, dimasukkan pada minit ke-62 ketika United ketinggalan 1-0, Mount pantas memainkan peranan mengubah corak perlawanan United apabila dia menyamakan kedudukan pada minit ke-72 menerusi sepakan lencong yang memukau.
Jaringan itu mengimbau gol ikonik Federico Macheda dalam perlawanan menentang Aston Villa pada tahun 2009.
Mount kemudiannya melengkapkan malam gemilangnya dengan jaringan menakjubkan dari jarak 45 ela pada masa kecederaan sekali gus menjadikannya pemain gantian pertama United yang menjaringkan dua gol dalam perlawanan kalah mati peringkat Eropah sejak kali terakhir David Beckham melakukannya pada 2003.
“Sudah terlalu lama sejak kali terakhir saya pernah merasai perasaan sebegini. Saya hanya berusaha untuk memberikan impak sebaik mungkin sejurus selepas dimasukkan ke dalam padang.
“Situasi saya di sini sangat sukar. Saya mengalami kecederaan serta penurunan prestasi, tetapi saya sentiasa kekal positif dan tahu sesuatu yang baik akan datang. Oleh kerana itu, saya tetap mahu meneruskannya,” katanya ketika ditemubual selepas perlawanan berakhir.
Ketua Jurulatih, Ruben Amorim pula memuji ketahanan mental dan fizikal Mount sambil menekankan bahawa usaha gigih serta sokongan padu daripada rakan sepasukan turut membantu peningkatan kualiti Mount dalam permainan. – Agensi